
Program realiti Mentor TV3 pernah menjadi pentas impian ramai bakat baharu yang bercita-cita mencipta nama sebagai penyanyi. Namun, tidak semua peserta akhirnya menemui kejayaan di belakang mikrofon.
Bagi sesetengah peserta, pentas Mentor hanyalah titik permulaan. Walaupun impian bergelar penyanyi tidak menjadi kenyataan, mereka akhirnya menemui rezeki dalam bidang lakonan. Malah, ada yang kini muncul sebagai antara wajah paling dikenali di kaca televisyen sehingga ramai terlupa mereka sebenarnya pernah bersaing dalam pertandingan nyanyian popular itu.
Artikel Berkaitan: Aiman Hakim Ridza Anggap Babak Intim Tak Perlu Diselit Dalam Mana-Mana Karya – ‘Penonton Sekarang Makin Bijak’
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Nak Kejar Populariti & Terlalu Memilih, Anak Bini Nak Makan Apa? – Anas Ridzuan
Lebih menyerlah sebagai pelakon
1. Aiman Hakim Ridza
Sebelum bergelar hero drama dan filem, Aiman Hakim Ridza terlebih dahulu mencuba nasib dalam Mentor Legend pada tahun 2014 di bawah bimbingan Rahim Maarof.
Walaupun langkahnya dalam pertandingan itu tidak berakhir dengan gelaran juara, penyertaan tersebut membuka pintu kepada perjalanan seni yang lebih luas.
Selepas Mentor, Aiman mula memberi tumpuan kepada bidang lakonan dan tidak mengambil masa lama untuk mencuri perhatian penerbit serta penonton.
Drama Vanila Coklat yang disiarkan di TV3 pada tahun 2011 menjadi titik penting dalam perjalanan karier Aiman Hakim Ridza sebagai pelakon.
Menerusi naskhah itu, Aiman mula meraih perhatian penonton dan membuka lebih banyak peluang dalam industri lakonan. Selepas kejayaan Vanila Coklat, Aiman terus menerima pelbagai tawaran membintangi drama bersiri dan telefilem, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon lelaki popular tanah air.
2. Anas Ridzuan
Anas Ridzuan juga merupakan antara peserta Mentor Legend musim ke-6 menjadi anak didik kepada komposer dan penyanyi terkenal, Faizal Tahir di mana dia berjaya menjadi naib juara.
Walaupun tidak berjaya mencipta impak besar sebagai penyanyi, Anas enggan menjadikan kegagalan itu sebagai noktah. Sebaliknya, Anas terus mengasah bakat dalam bidang lakonan sehingga berjaya membina kerjaya yang konsisten.
Anas kini banyak terlibat dalam filem-filem aksi, drama biografi, dan naskhah epik berskala besar seperti Libang Libu (2026), Gayong (2025), dan banyak lagi.
3. Tisha Shamsir
Sebelum dikenali sebagai pelakon, Tisha Shamsir terlebih dahulu mencuba nasib sebagai peserta Mentor musim keenam, menjadi protege bawah bimbingan Ferhad.
Walaupun tidak berjaya melakar nama sebagai penyanyi, pengalaman itu menjadi titik permulaan sebelum nama Tisha mula mendapat perhatian apabila membawakan watak Inspektor Tisha dalam drama bersiri Gerak Khas, sekali gus menjadikannya antara wajah yang sinonim dengan siri kepolisan tersebut.
Menariknya, Tisha pernah berkongsi menjadi anggota polis merupakan cita-citanya sejak kecil dan peluang melakonkan watak seorang inspektor seolah-olah merealisasikan impian yang tidak kesampaian.
Selain Gerak Khas, Tisha turut muncul dalam filem Polis Evo sebagai Sarjan Rosalinda serta membintangi beberapa drama popular seperti Dia Bidadariku dan Titian Cinta. Hari ini, Tisha lebih dikenali sebagai pelakon berbanding bekas peserta Mentor.