Usahawan dan selebriti media sosial, Natasha Ozeir tampil menjernihkan kekeliruan yang sering timbul apabila ada segelintir pihak beranggapan dirinya berasal daripada keluarga Diraja Pahang.

Artikel Berkaitan: Kerabat Pahang Didakwa Serang Orang Awam, Tengku Hassanal Titah Polis Siasat Dengan Telus Tanpa Kompromi

‘Orang Sabah’

Natasha atau nama lengkap Natasha Mohammad Ozeir, 40, berkata, tanggapan tersebut timbul kerana hubungan rapat yang terjalin antara dirinya dan keluarga Diraja Pahang, namun hakikatnya dia bukan berdarah kerabat.

Pengasas jenama minuman Richman Coffee itu menjelaskan, dia merupakan anak jati Sabah hasil perkahwinan ibu kandungnya yang berasal dari negeri berkenaan dengan bapanya yang berketurunan Lubnan.

Ramai yang salah faham. Ibu saya orang Sabah, manakala arwah ayah pula berasal dari Lubnan. Ramai juga panggil saya dengan ‘Tengku’

Ayah saya berkahwin dengan kakanda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menjadi ibu tiri saya.

Sebab itu saya sangat rapat dengan keluarga Diraja Pahang. Hubungan dengan keluarga tiri juga sangat baik dan penuh kasih sayang.

Natasha berkata demikian ketika ditemui di sesi rakaman audio siar kendaliannya, Habis Cerita Podcast, di ibu kota, baru-baru ini.

Podcast tersebut turut menampilkan dua rakan selebriti terkenal iaitu Datuk Seri Rossa dan Nora Danish sebagai hos bersama.

Mengulas lanjut, Natasha berkata dia memahami mengapa masih ada yang keliru tentang latar belakang keluarganya, apatah lagi dia sering dilihat bersama keluarga Diraja Pahang.

Saya selalu nyatakan dalam profil bahawa saya ‘proud Sabahan’. Pada masa sama, saya juga sangat bersyukur dengan keluarga tiri saya kerana mereka sangat baik dan menyokong saya dalam banyak perkara.

Saya tidak menyalahkan sesiapa yang salah sangka. Mungkin ada yang rasa segan atau takut untuk mendekati saya kerana menyangka saya daripada keluarga diraja.

Tambah Natasha, keakraban dengan keluarga Diraja Pahang banyak memberi makna dalam hidupnya.

Ketika saya sakit di Singapura sebelum ini, ramai daripada keluarga Pahang datang melawat. Itu membuatkan saya sangat tersentuh.

Sebenarnya keluarga saya ada di merata tempat. Ada yang di Sabah, ada sepupu di Stanford, California, New York, Los Angeles, malah di Switzerland.

Cuma di Kuala Lumpur, saya lebih banyak bersama keluarga Pahang. Mungkin sebab itu orang fikir saya kerabat diraja, sedangkan hakikatnya tidak.