berita

Rampasan Kuasa Oleh Tentera, Suu Kyi Ditahan, Ini Konflik ‘Sebenar’ Yang Sedang Berlaku Di Myanmar

February 3rd, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Selepas pilihan raya yang diadakan pada 8 November lalu, sidang Parlimen baru bagi Myanmar dijangka berlangsung semalam. Namun begitu, pemimpin parti Liga Nasional untuk demokrasi Myanmar (NLD) iaitu Aung San Suu Kyi serta beberapa orang pemimpin lain telah ditangkap oleh sepasukan tentera sejak awal pagi semalam.

Lebih mengejutkan, pasukan tentera telah mengisytiharkan darurat selama setahun sejurus penangkapan Aung San Suu Kyi. Plot drama politik di negara berkenaan juga telah bertukar nada dan pelbagai desas-desus mengenai rampasan kuasa tentera bakal berlaku turut dihebohkan.

Siapa Aung San Suu Kyi?

Aung San Suu Kyi dilahirkan pada 19 Jun 1945 di Rangoon, Burma. Beliau merupakan anak bongsu kepada pasangan Aung San dan Khin Yi. Ayahnya merupakan bapa kemerdekaan Myanmar dan keluarga beliau sangat disanjungi dan dikagumi pada masa tersebut. Beliau merupakan graduan dari University of Delhi pada tahun 1964 dan University of Oxford pada tahun 1968. Selepas menamatkan pengajian, Aung San Suu Kyi bekerja di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama tiga tahun. Beliau juga telah mendirikan rumah tangga dengan Michael Aris pada tahun 1972. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

Aung San Suu Kyi sangat dikenali sebagai ahli politik,diplomat dan penulis. Hasil penulisannya juga telah menobatkan dirinya sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991. Pada waktu tersebut, beliau bertugas sebagai Penasihat Negeri Myanmar dari tahun 2016 hingga 2021. Sebagai pemimpin Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) dan penasihat negara pertama, beliau memainkan peranan penting dalam peralihan corak politik Myanmar kepada demokrasi separa pada tahun 2010.

Konflik yang sedang berlaku

Buat pengetahuan korang, hampir 50 tahun Myanmar dicengkam pemerintahan tentera sebelum mereka kembali kepada pemerintahan demokrasi dalam tempoh 10 tahun ini. Mengenai apa yang sudah berlaku pada awal pagi semalam, pasukan tentera dipercayai hilang kesabaran dengan kerajaan awam selepas mereka tewas dalam pilihan raya pada November lalu. Menerusi pemerintahan demokrasi, pihak tentera merasakan bahawa cengkaman kuasa dan pengaruh mereka telah hilang. Tambahan, selepas kuasa diberikan sepenuhnya kepada Aung San Suu Kyi.

Semasa pilihan raya, parti NLD itu dipercayai menang besar manakala, parti proksi tentera yang dikenali sebagai Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP) hanya memenangi 33 kerusi sahaja. Di sebalik itu, USDP masih mendominasi pemerintahan dan menguasai campur tangan parlimen pada masa tersebut walaupun kemenangan berpihak kepada parti NLD. Ini kerana, Aung San Suu Kyi merupakan seorang wanita. Tambahan, dia berkahwin dengan warga asing.

Kalau korang nak tahu, pihak tentera menguasai politik Myanmar sejak 1962, selepas Jeneral Ne Win menggulingkan Presiden Win Maung dan PM U Nu. Pada masa tersebut, Amerika Syarikat sedang sibuk berperang dengan Vietnam dan mereka dipercayai tidak mempunyai waktu untuk mengambil tahu mengenai demokrasi dan hak asasi masyarakat di Myanmar. Pada tahun 1988 hingga 1989, Myanmar mula menarik perhatian dunia apabila rakyatnya melakukan protes secara besar-besaran. Memandangkan Aung San Suu Kyi anak kepada bapa kemerdekaan Myanmar dan semua rakyat menyayangi beliau, pihak tentera menganggap perkara tersebut sebagai ancaman. Oleh itu, mereka bertindak mengurung Aung San Suu Kyi di dalam rumahnya.

Pada masa yang sama, pihak tentera bersetuju untuk mengadakan pilihan raya dengan harapan mereka bakal memenangi pilihan raya tersebut. Ternyata, kemenangan tidak berpihak kepada mereka langsung dan sejak itu tiada lagi pilihan raya yang berlangsung. Pasukan tentera telah melepas Aung San Suu Kyi pada tahun 2010.

Sanggup dibenci oleh seluruh dunia

Walaupun Aung San Suu Kyi tidak boleh memegang jawatan sebagai presiden oleh kerana beliau seorang wanita dan berkahwin dengan warga asing, parlimen yang dikuasai olehnya itu telah meluluskan satu undang-undang bagi menubuhkan jawatan State Counsellor untuk beliau. Sebagai Counsellor, Aung San Suu Kyi masih mempunyai kuasa yang sebenar sebagai ketua kerajaan meskipun jawatan sebenar yang asli telah disandang oleh rakannya iaitu Htin Kyaw dan diikuti Win Myint.

Geram dan tidak berpuas hati dengan cara Aung San Suu Kyi, pasukan tentera telah mengapi-apikan sentimen anti-Rohingya. Malah, mereka turut melancarkan serangan terhadap kaum tersebut. Ekoran daripada itu, kerajaan NLD berdepan dengan desakan antarabangsa. Aung San Suu Kyi mempunyai perasaan berbelah bahagi kerana jika beliau pertahankan kaum Rohingya, kaum majoriti iaitu Bamar akan mempercayai propaganda pasukan tentera lantas membenci beliau. Lebih teruk, mereka bakal mengalami kekalahan ketika pilihan raya November lalu.

Sebagai ikon demokrasi dan hak manusia serta mempunyai hubungan yang erat dengan negara barat, ramai yang berpendapat Aung San Suu Kyi akan mempertahankan kaum Rohingya. Namun, beliau memilih untuk mempertahankan kaum Bamar dan sanggup dibenci oleh seluruh dunia. Oleh itu, NLD berjaya memenangi pilihan raya pada baru-baru ini. Berbalik kepada situasi semasa, pasukan tentera telah mempertikaikan keputusan pilihan raya yang berlangsung pada November lalu. Lantas, mereka bertindak menahan Aung San Suu Kyi dan Win Myint sekali lagi.

Biden gesa tentera Myanmar lepaskan kuasa

Terbaru, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, menggesa tentera Myanmar untuk segera melepaskan kuasa dan membuat semakan terhadap pertimbangan untuk mengenakan semula sekatan ketika peralihan negara itu kepada demokrasi. Biden juga berharap masyarakat antarabangsa perlu bersatu untuk memberi tekanan kepada tentera Myanmar agar mereka segera melepaskan rampasan kuasa.

Kalau korang nak tahu lagi, Amerika Syarikat pernah menghapuskan sekatan ke atas Burma sejak sedekad lalu, berdasarkan kemajuan ke arah demokrasi. Negara tersebut sentiasa memperjuangkan demokrasi di mana sahaja, jika ia diganggu. Biden turut memaklumkan bahawa beliau akan memberi perhatian terhadap isu yang berlaku di Myanmar ini . Kerjasama dengan rakan-rakan lain di seluruh dunia untuk mendukung pemulihan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, serta bertanggungjawab kepada mereka yang membatalkan peralihan demokrasi di Myanmar bakal dilakukan juga.

Sumber: BBC, CNN, Astro Awani & Berita Harian

SKIP THIS AD ×