
Selebriti versatil, Datuk AC Mizal meluahkan rasa syukur apabila konsert ‘WE 4U2C Live In Concert’ di Idea Live, Arena berjalan dengan lancar selepas hampir tiga bulan berhempas pulas melakukan persediaan.
Artikel Berkaitan: ‘Jangan Marah-Marah, Ini Konsert 4U2C Yang Terakhir’ – AC Mizal
Artikel Berkaitan: AC Mizal Sedih Ramai Kecam Konsert 4U2C, Hanya Minta Raikan Momen Bersejarah – ‘Ada Ahli Yang Sampai Depression’
AC Mizal syukur & terharu
Ketika dihubungi OhBulan!, AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini turut meluahkan rasa terharu dengan sambutan diberikan hampir 4,000 penonton yang hadir meskipun berdepan pelbagai cabaran beberapa bulan sebelum penganjuran konsert.
Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah permudahkan segala perjalanan kami sebelum dan semasa konsert berlangsung.
Untuk tiga bulan sebelum konsert, kami dikecam hebat tetapi kami pun tak boleh nak salahkan sebab mereka tak nampak apa yang kami sedang usahakan.
Selama tiga bulan itu jugalah kami berhempas pulas dan segalanya berjalan dengan lancar.
Semua pihak yang terlibat seperti pengarah muzik, penari dan ahli 4U2C sendiri memberikan yang terbaik.
Apa yang boleh saya katakan ialah, saya berasa sangat terharu sebab tak sangka dapat sambutan semeriah itu pada malam konsert.
Dalam masa yang sama, pelantun lagu ‘Senorita’ berpendapat kejayaan pada malam konsert tempoh hari membuktikan 4U2C yang dibarisi Lanz, Aren, Yanz, Rinz, Charlie dan Azam masih relevan dan mempunyai peminat mereka yang tersendiri.
Tiga bulan kami terima kecaman sehingga ada ahli 4U2C yang tertekan namun setiap malam kami berlatih untuk memberikan yang terbaik.
Hasilnya mereka berjaya melakukan persembahan selama tiga jam dihadapan hampir 4,000 penonton.
Saya rasa sebak sebab mereka tetap bersemangat meskipun berdepan dengan pelbagai kecaman daripada yang tak suka kami.
Saya tak ada nak cakap apa sebab kehadiran ribuan peminat pada malam itu telah membuktikan yang kami masih mempunyai peminat tersendiri.
Pada malam konsert juga kami buktikan bahawa kami masih boleh ‘perform’ meskipun sekian lama tak bersama di atas pentas.
Dapat tawaran konsert di Singapura
Ketika ditanya adakah sambutan luar biasa itu akan mengubah fikiran mereka untuk tidak menjadikan konsert ini yang terakhir, AC Mizal memaklumkan mereka ada menerima tawaran untuk melakukan konsert 4U2C di Singapura.
Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keputusan ahli kumpulan yang lain memandangkan mereka akan kembali menjalani kehidupan masing-masing.
Konsert tempoh hari pada saya satu penutupan yang bagus buat 4U2C dan saya bersyukur kepada Allah kerana tercapai cita-cita kami nak buat konsert.
Bukanlah kami ini tak nak adakan lagi konsert di masa akan datang tetapi semua ahli ada komitmen masing-masing.
Tambahan pula kami semua ahli 4U2C dan sepakat yang konsert ini adalah terakhir sebab tak sangka akan dapat sambutan sebesar ini.
Tetapi apa yang lebih mengejutkan kami adalah apabila mendapat tawaran untuk mengadakan konsert di Singapura.
Apa yang boleh dikatakan ialah mungkin kami akan pertimbangkan. Sama ada konsert itu akan menjadi realiti atau tidak, semuanya bergantung kepada perbincangan kami selepas ini sebab masing-masing ada komitmen peribadi.
Cuma buat masa ini, tiada perancangan lagi untuk adakah konsert yang berikutnya.
Pada Isnin, buat julung kalinya, 4U2C merealisasikan impian mereka apabila berjaya mengadakan konsert pertama berskala mega di Idea Live Arena.
Konsert anjuran Juss Event Sdn. Bhd. Yang berlangsung selama tiga jam itu dimeriahkan dengan hampir 4,000 penonton berikan sokongan.
Antara lagu yang dinyanyikan ialah Fiona, Kembalilah Fiona, Berpisah Jangan, Persahabatan dan Darling I Love You.