Pelakon, Razzuan Rosli berpendapat penguasaan pelbagai bahasa menjadi satu kelebihan yang mampu membuka lebih banyak peluang, sama ada dalam kerjaya mahupun pergaulan harian.

Artikel Berkaitan: Peluang Datang Sekali Seumur Hidup, Razzuan Rosli Mahu Teroka Segala Cabang Seni

Kuasai banyak bahasa

Razzuan, 30, berkata keupayaan bertutur dalam lebih daripada satu bahasa bukan sahaja memudahkan komunikasi, malah menjadi jambatan untuk mendekati lebih ramai individu dari latar belakang berbeza.

Semakin banyak bahasa yang kita kuasai atau belajar, saya percaya semakin luas peluang untuk dapat sesuatu, baik pekerjaan atau perkara lain.

Seandainya mahir dalam sesuatu bahasa lain dan berborak bahasa tersebut dengan orang yang mahir juga, itu akan jadi satu perantara dengan mereka.

Saya percaya bukan hanya bahasa, tetapi apa jua ilmu kalau kita dapat kuasai dengan baik, itu menjadi satu kelebihan untuk diri seseorang.

Razzuan berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat filem Jangkar yang diadakan di Metrowealth (MIG), Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Razzuan turut berkongsi dia sebenarnya mempunyai asas dalam bahasa Mandarin kerana pernah menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ketika berusia lapan hingga 12 tahun.

Saya dulu bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dari darjah dua hingga darjah enam. Tapi saya agak menyesal kerana tidak mempraktikannya.

Zaman budak-budak, hanya saya sekolah Cina, kawan lain sekolah kebangsaan biasa, rasa macam saya disisihkan. Namun, bila semakin meningkat dewasa, saya rasa sedikit rugi kerana lama tidak praktik bercakap Mandarin.

Selain Razzuan, filem Jangkar turut menampilkan Fikry Ibrahim, Cristina Suzanne, Yusof Hashim, Fikry Ibrahim, Noki K-Clique, Alieff Irfan, Datuk Tarmimi Siregar dan ramai lagi.