Diam-diam berisi! Pelakon Reen Rahim mengumumkan dia bakal berkahwin dengan pilihan hati yang dikenali sebagai Mr H pada hujung tahun ini.
Pilih ahli perniagaan
Ketika dihubungi OhBulan!, Reen menyatakan dia sudah mengenali hati budi Mr H sudah hampir dua tahun.
Bagaimanapun, aktres berumur 34 tahun ini memilih untuk tidak berkongsi tarikh pernikahan dan identiti jejaka yang lebih muda daripadanya itu.
Katanya, dia mahu menjaga privasi dan mengelakkan penyakit ‘Ain.
Ya saya bakal menamatkan zaman bujang pada hujung tahun ini. Dia seorang ahli perniagaan dan juga penggiat seni. Kami sudah berkawan hampir dua tahun dan dia enam tahun lebih muda dari saya.
Pada mulanya kami berdua tidak berhasrat untuk berkahwin kerana tidak mahu terikat dengan sebarang komitmen, tapi pada masa sama kami saling menyukai antara satu sama lain.
Tak tahulah apa agaknya doa keluarga, akhirnya kami berdua terbuka hati untuk menghalalkan ikatan dan berjanji untuk saling menjaga hingga ke akhir hayat.
Reen berkata demikian ketika sidang media pengumuman majlis perkahwinannya yang diadakan di Irama Dining Kuala Lumpur, pada Khamis.
Tajaan mewah
Dalam pada itu, pemilik nama Noreen Ashikin Abdul Rahim bersyukur kerana mendapat tajaan sebanyak RM15 juta. Ceritanya lagi, dia bakal mengadakan tiga majlis iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi.
Kalau boleh saya nak buat satu majlis saja, tapi memandangkan ada pihak yang sudi menaja kami memutuskan untuk menganjurkan tiga majlis iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi.
Kesemua majlis ini akan diuruskan oleh sahabat-sahabat saya kerana mereka tidak mahu menyusahkan saya. Mereka hanya mahu saya gembira pada majlis itu nanti.
Terdahulu, Reen melangsungkan majlis pertunangan dengan jejaka berusia 28 tahun itu pada Ogos lalu namun bertindak untuk merahsiakannya atas permintaan keluarga.