berita

Pembukaan Semula Sektor Ekonomi Beri Impak Positif Pada BN Di PRN Melaka

December 1st, 2021 | by Nurul
Shout Out!

Kredit: BERNAMA

Tempias impak positif daripada keputusan membuka semula sektor ekonomi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disifatkan antara faktor penyumbang kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, jelas pakar ekonomi.

Pembukaan ekonomi & sempadan beri impak positif

“Melaka antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong dan apabila mereka datang ke Melaka dan berbelanja, maka sentimen positif itu dapat dirasai.

“Ini adalah impak positif secara tidak langsung hasil pembukaan ekonomi dan pembukaan sempadan. Secara kebetulan pula, semua kebenaran itu diberikan di bawah pentadbiran kerajaan diterajui Ismail Sabri.

“Sedikit sebanyak mereka boleh kata apabila bertukar (ketua) kerajaan, banyak aspek positif berjaya dilaksanakan seperti pembukaan sektor ekonomi itu,” katanya kepada BH.

Menerusi PRN Melaka, BN berjaya membentuk kerajaan negeri tanpa perlu bekerjasama dengan blok lain selepas menawan 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi.

Lebih bermakna, parti komponennya, iaitu MCA dan MIC masing-masing menang di dua dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pemerhatiannya mendapati Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022 tidak memberikan impak besar yang mendorong kemenangan BN kerana ia adalah perancangan jangka panjang dan bantuan yang diumumkan hanya disalur pada tahun depan.

Sebaliknya, kata beliau, pengundi di Melaka mengutamakan calon dan parti yang mereka selesa berurusan serta memiliki rekod prestasi.

“Secara tradisi, mereka biasa memilih calon BN, cuma pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), keputusan menjadi sebaliknya disebabkan ada isu besar yang mereka rasa perlukan perubahan.

“Saya lihat pengundi lebih mengutamakan mereka (calon dan parti) yang mereka selesa dan boleh diharapkan,” katanya.

“Rakyat negeri Melaka mahu kestabilan politik”

Kredit: Harakah Daily

Manakala, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, menyifatkan keputusan PRN Melaka jelas menunjukkan rakyat negeri itu mahukan kestabilan politik dengan hanya satu parti yang lebih dominan.

Jelasnya, ini adalah kerana kerajaan yang kuat boleh membantu pemulihan ekonomi dengan lebih cepat dan pastinya ia sesuatu yang dikehendaki rakyat yang amat terjejas oleh pandemik COVID-19 , terutama di luar bandar dan golongan B40 dan M40.

“Kelangsungan lapan pakej bantuan berjumlah RM530 bilion dan dua bajet yang besar selama dua tahun berturut-turut, iaitu sebanyak RM320 bilon (2021) dan RM330.1 bilion (2022) sudah banyak menumpukan kepada kebajikan rakyat serta perniagaan mikro kecil dan sederhana di seluruh negara.

“Pastinya rakyat negeri Melaka yang amat bergantung kepada kegiatan ekonomi seperti pelancongan dan perniagaan mikro kecil dan sederhana menerima baik pembukaan semula sempadan negeri supaya kegiatan ekonomi kembali seperti asal.

“Kebergantungan peniaga mikro kecil sederhana di Melaka, terutama terhadap sektor pelancongan, makanan dan minuman serta peruncitan adalah tinggi peratusannya.

“Jadi tidak hairanlah mereka mahukan kestabilan politik supaya sektor ekonomi cepat pulih,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM, Dr Saifuzzaman Ibrahim, berkata keputusan PRN Melaka memberikan gambaran positif kestabilan ekonomi kerana dimenangi oleh parti tunggal dengan majoriti dua pertiga.

Katanya, melalui kestabilan, kerajaan negeri yang dibentuk lebih mudah merancang aktiviti ekonomi untuk memacu pertumbuhan Melaka.

“Tak kira siapa yang menang pun, perkara itu (politik) kena stabil. Jika tidak stabil, sekejap turun sekejap naik sampai buat pilihan raya, ia tak bagus untuk menarik pelabur dari luar.

“Cuma ia baru di satu negeri, pelabur hendak tengok pada (kestabilan politik) negara secara keseluruhannya,” katanya.

Kredit: BERNAMA

Sementara itu, TA Securities dalam nota penyelidikannya, berkata kemenangan besar BN di PRN Melaka itu memberi petunjuk kukuh bahawa pengundi mahukan kerajaan yang stabil selepas letih dengan beberapa siri ketidaktentuan politik yang menjejaskan kerajaan negeri itu.

Ia berkata, dengan kemenangan besar BN itu memberi petanda jelas bahawa BN akan meneruskan strategi bersendirian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya tanpa sebarang kerjasama dengan parti politik lain.

Katanya, prestasi memberangsangkan di Melaka meningkatkan spekulasi bahawa kerajaan sedia ada akan memanfaatkan momentum untuk mengadakan PRU lebih awal tahun depan dan tidak menunggu tempoh lima tahun yang akan tamat pada Mei 2023.

“Jangkaan pasaran adalah PRU ke-15 akan diadakan dalam tempoh antara Julai 2022 dan Julai 2023, yang mana dalam tempoh 60 hari daripada tempoh semasa tamat, berdasarkan petanda yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Namun, kerajaan semasa tidak terikat dengan itu dan boleh mengadakannya lebih awal jika kes COVID-19 rendah dan dibendung dengan baik,” katanya.

SKIP THIS AD ×