Bila tengah syok scrolling platform online tengah-tengah malam, tiba-tiba korang ternampak barang elektrik yang menarik dengan harga murah, mesti rasa nak checkout terus, kan?

Tambah pula bila tengok ribuan ulasan cemerlang yang memuji kepantasan penghantaran serta kekemasan bungkusan. Mesti tangan tu laju je nak tekan butang checkout.

Nanti dulu guys, jangan tergesa-gesa sebab ada perkara penting yang korang kerap terlepas pandang sebelum buat bayaran.

Review 5-Star pun tak cukup untuk pastikan barang selamat

Bila korang baca ulasan online, kebanyakannya cuma cerita pasal kepantasan penghantaran atau kecantikan luaran barang tu sahaja. 

Hakikatnya, ulasan pembeli langsung tidak menjamin wayar dalaman peranti tersebut telah diuji dapat mengurangkan risiko litar pintas atau overheat bila diguna lama.

Sebab itulah SIRIM melancarkan kempen “Ada SIRIM, Baru Beli” bermula tahun 2022. Mesejnya cukup ringkas iaitu keselamatan korang serta keluarga tercinta jauh lebih berharga berbanding sekadar merebut baucar diskaun.

Bila nak shopping online, tak salah nak baca review, tapi pastikan kualiti barang tu disahkan oleh badan rasmi dulu tau! Jangan sampai tersilap beli barang yang berisiko memudaratkan.

Kenali label ST-SIRIM pada barangan elektrik

Pastikan pelekat Label ST-SIRIM dengan nombor siri unik dilekatkan pada barangan elektrik yang korang beli.

Bila nak beli peralatan elektrik rumah seperti cerek, extension plug, kipas atau pengecas telefon, korang kena pastikan ada label ST-SIRIM dulu tau.

Label ini ialah bukti sahih bahawa barang tersebut melepasi pengujian SIRIM dan mendapat kelulusan rasmi daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

Malah, setiap label disertakan nombor siri unik. Kalau produk yang korang berkenan tu langsung tiada label ini, itu memang major red flag!

Masa shopping online, rajin-rajinkan diri untuk chat seller dan minta kepastian tentang keberadaan label ST-SIRIM yang sah sebelum korang checkout.

Cari tanda STMS untuk kedai online boleh dipercayai

Tanda STMS bertindak seperti ‘verified badge’ untuk kedai online yang sah dan dijamin menjual produk mengikut piawaian SIRIM.

Bukan itu sahaja, korang boleh periksa juga status platform e-commerce penjual menerusi SIRIM Trusted Mark Scheme (STMS). 

Tanda STMS ini berfungsikan seperti verified badge buat sesebuah online store, sekali gus memberikan rasa lebih yakin dan selamat.

Mana-mana peniaga yang memiliki tanda STMS menandakan mereka sudah mendapat pengesahan rasmi SIRIM dan dijamin cuma menjual produk yang menepati piawaian kualiti ditetapkan. 

Pendek kata, korang tidak perlu ragu-ragu nak beli dekat kedai berkenaan.

Amalkan formula “Check. Confirm. Checkout!”

Gunakan aplikasi MYSIRIM untuk mengimbas dan mengesahkan label produk sebelum membuat bayaran.

Proses nak jadi smart shopper sebenarnya tak rumit langsung. Korang cuma perlu ingat 3 langkah mudah ni setiap kali nak berbelanja:   

🔍Check: Teliti butiran produk, penjual dan kewujudan label ST-SIRIM atau tanda STMS.   
📲Confirm: Semak produk dengan sahkan jenama atau modelnya dalam aplikasi MYSIRIM sebelum membuat pembelian.   
💳Checkout: Bila semua dah sah dan selamat, barulah tekan bayar dengan hati yang tenang.

Dah boleh muat turun aplikasi MYSIRIM dekat telefon korang supaya senang nak imbas dan sahkan label pada bila-bila masa.

Nak tahu apa yang berlaku di sebalik pengujian SIRIM?

Korang boleh tonton episod khas Majalah 3 bertajuk “Perisai Kualiti: Pemegang Janji Keselamatan” melalui pautan di bawah: