berita

Review Filem : Bergelak Tawa Dengan Here Comes The Boom

December 18th, 2012 | by Ai
Filem Antarabangsa

‘Here Comes The Boom’ merupakan sebuah filem bergenra aksi komedi, di mana ia menceritakan tentang pengorbanan seorang guru Biologi dalam usaha menyelamatkan Kelab Muzik di sekolahnya daripada terus dibubarkan. Filem lakonan Kevin James ini merupakan filem yang sarat dengan eleman-eleman komedi dan diselitkan dengan sedikit unsur-unsur keganasan.

Menerusi filem ini, Kevin James yang memegang watak sebagai Cikgu Scott Voss telah terpikat dengan seorang jururawat yang bekerja di sekolahnya iaitu lakonan Salma Hayek yang memegang watak sebagai Bella.

Pada awalnya Bella tidak menghiraukan usikan serta layanan ‘nakal’ yang ditonjolkan oleh Scott kerana menganggap lelaki tersebut seorang yang kelakar dan tidak pernah serius dalam setiap tindakannya. Namun begitu segalanya berubah apabila Scott mula menyertai pertandingan tinju dan mula menunjukkan kesungguhan dalam mendapatkan wang demi menyelamatkan masa depan Kelab Muzik sekolahnya.

Penglibatan Scott ke dalam dunia tinju bermula apabila dia menonton sebuah program realiti TV yang berkonsepkan sukan tinju dan menerusi program tersebut, Scott telah mendapat ilham bagaimana untuk mendapatkan wang dalam masa yang singkat dan mudah. Bermula daripada idea tersebut, Scott mula menjinakkan diri dalam sukan tinju dan cuba mendapatkan bimbingan daripada pelajarnya yang bernama Niko lakonan Bas Rutten.

Berbekalkan semangat juang yang tinggi serta sokongan daripada Bella dan murid-muridnya, Scott akhirnya berjaya menempa nama dalam dunia tinju sehingga melayakkan diri ke sebuah pertandingan terkemuka. Menerusi pertandingan tersebut Scott telah mengalahkan juara bertahan dan secara tidak langsung berjaya mendapatkan wang ganjaran seperti yang diidamkan.

Eleman-eleman Komedi Yang Terdapat Dalam Filem ‘Here Comes The Boom’

Terdapat beberapa eleman komedi yang cuba ditonjolkan oleh pengarah filem, di mana elemen komedi pertama tercetus apabila Scott telah mencabar Bella untuk berlawan dengannya dalam permainan bola keranjang. Menerusi sesi cabaran tersebut, Scott telah tersalah ‘target’ lalu jatuh tersungkur di atas simen.

Babak komedi kedua tercetus apabila Scott telah muntah di atas badan pihak lawannya sebanyak dua kali menerusi sebuah pertandingan tinju. Aksi yang tidak disengajakan itu telah dirakamkan oleh penonton dan dimuat naik di laman YouTube.

Dalam pada itu, babak yang turut mencuit hati adalah sewaktu Scott menggunakan muzik berentak sentimental ketika mahu memperkenalkan dirinya dalam sebuah pertandingan tinju. Oleh kerana terlalu bersifat ‘slumber’ dan tidak menghiraukan pandangan orang sekeliling, Scott telah ditertawakan serta diperlekehkan oleh penonton.

Bagi mengetahui lebih lanjut, jangan ketinggalan untuk saksikan filem ‘Here Comes The Boom’ di pawagam bermula 22 Disember ini. Pastinya anda tidak akan kering gusi melihat gelagat serta keletah bersahaja Kevin James.

SKIP THIS AD ×