berita

Review Filem : Judge Dredd, Antara Yang Baru Dan Yang Lama

October 1st, 2012 | by M
Filem Antarabangsa

“I AM THE LAW”

Saya rasa anda semua sudah sedia maklum akan ‘tag line’ hero yang bergelar Judge Dredd ini. Watak Judge Dredd berasal dari komik dan kemudian dijadikan filem pada tahun 1995. Berbeza dengan polis, seorang Judge mempunyai kuasa untuk melakukan pelaksanaan hukuman secara langsung, tanpa mengikuti prosedur mahkamah.

Untuk mengelakkan kesamaan nama antara kedua-dua versi, filem Dredd 2012 diberi nama Dredd 3D. Jadi sejauh mana Dredd 3D berbeza dengan filem Judge Dredd yang asal? Ikuti review ini untuk mengetahui beberapa perbezaan antara Dredd yang asal dan Dredd yang terbaru. Yang mana satu lebih ‘awesome’?

Pelakon-pelakon utama

Filem pertama Judge Dredd dibintangi oleh Sylvester Stallone, jejaka ‘tough’ dan ‘macho’ yang mana baru-baru ini membintangi filem Expendable 2. Di sisi hakim gagah ini ialah penjenayah yang banyak membantu Dredd dalam saat-saat genting.

Tetapi dalam filem Dredd 3D, watak Dredd dibintangi oleh Karl Urban. Walaupun namanya tidak gah seperti Stallone, tetapi Karl Urban bukan calang-calang. Dia pernah berlakon di dalam filem Lord of The Rings The Two Towers dan juga Star Trek.

Berbeza dengan filem asal, ‘sidekick’ hakim ganas ini bukanlah penjenayah. Sebaliknya dibantu oleh seorang protege hakim wanita yang mempunyai kuasa psikik. Kalau nak tau kuasa psikik apa yang dimiliki oleh Judge Anderson, kenalah tonton sendiri filem ini. Tak syoklah kalau ‘spoil’ kat sini.

Pakaian seragam Judge

Okey, isu pakaian seragam Judge dalam filem terbaru ini memang kontroversial habis. Mana taknya, pakaian seragam Judge dalam filem ‘remake’ ini memang tak sama langsung dengan komik. Sekali pandang, macam baju swat pun ada. Dua kali pandang pun masih macam baju swat.

Tambah-tambah lagi helmet keselamatan yang dipakai pun memang buruk. Dengan tambahan logo berbentuk ‘ X ’ di hadapan ‘visor’.

Kalau tengok Judge Dredd versi 90-an, memang nampak jauh lebih ‘style’ dan angkuh berbanding Judge Dredd yang terbaru.

Tapi adakah pakaian seragam yang tidak menggambarkan kharisma sebagai seorang Judge membawa maksud jalan ceritanya pun tidak menarik dan membosankan? Untuk tahu tentang jalan cerita Dredd 3D, jom kita ‘scroll’ ke bawah.

Jalan Cerita: Remake atau Reboot

Sebelum saya pergi lebih lanjut tentang jalan cerita Judge Dredd, elok jika saya perjelaskan sesuatu tentang Dredd 3D.

Mesti ramai yang ingat Dredd 3D ialah filem pembikinan semula bukan? Jika ya, boleh jadi anda salah. Bagi saya Dredd 3D bukanlah pembikinan semula atau ‘remake’ sebaliknya lebih kepada pembuatan semula atau ‘reboot’.

Masih kurang jelas? Biar saya tunjuk beberapa contoh kepada anda. Batman Dark Night dan juga Amazing Spiderman ialah ‘reboot’ dan bukannya ‘remake’. Kedua-dua filem ini mempunyai jalan cerita dan plot yang tersendiri dan langsung tidak sama dengan filem yang asal. Total Recall (2012) pula ialah filem ‘remake’ kerana mempunyai plot cerita dan watak yang sama tetapi dengan tambahan teknologi perfileman dan efek CGI yang lebih masyuk.

Dredd kini lebih realistik

Walaupun pakaian seragam Dredd kelihatan seperti swat, tetapi saya rasa pakaian begini lebih logik untuk pertempuran. Kelihatan pakaian dan helmet Dredd agak kotor dan kurang kemas. Pakaian sebegini jelas berpadanan dengan suasana kehidupan di suatu zaman yang mempunyai statistik penjenayah yang tinggi dan rakyatnya hidup dalam huru-hara.

Anehnya dalam filem Dredd 3D, watak Dredd kurang diberi perhatian. Sebaliknya watak ‘sidekick’ Judge Anderson kelihatan lebih misteri dan penting. Lebih-lebih lagi dengan kuasa psikik yang dimiliki beliau.

Berbeza dengan Judge Dredd, Judge Anderson tidak sepenuhnya bergantung kepada undang-undang untuk membuat keputusan. Tampak Judge Anderson jauh lebih berperikemanusiaan berbanding Dredd.

Jadi apakah yang membuatkan Dredd mempunyai hati yang keras dan langsung tidak berkompromi kepada mana-mana penjenayah?

Malangnya segala perkara tersebut tidak diterangkan dalam filem ini. Tanggapan saya, boleh jadi Dredd 3D akan mempunyai sekuel. Peribadi dan kisah silam Judge Dredd akan dirungkai secara terperinci pada sekuel seterusnya.

Efek CGI dan tahap keganasan

Anda dah tonton atau belum filem asal Judge Dredd? Boleh tahan kan ganasnya? Selamba sahaja Dredd tembak hancur kereta pengguna jalan raya. Jika anda rasa itu sudah cukup ganas, Dredd lakonan Karl Urban lima kali ganda ganasnya.

Dalam beberapa adegan, darah melimpah ruah secara ‘slow motion’. Memang ngeri habis. Rasa macam tengok filem ‘horror’ pula. Kalau anda pilih untuk tonton versi 3D, boleh nampak darah tu memercik-mercik ke luar skrin. Memandangkan tajuk filem ni Dredd 3D, jadi saya tak pasti ada atau tidak versi 2D. Boleh jadi hanya 3D sahaja. Standard la.. strategi nak untung lebih.

Hampir kesemua adegan tembak-menembak dalam filem ini berlaku di sebuah bangunan tertutup. Pada mulanya, Dredd dan Anderson memasuki bangunan ini kerana menerima laporan pembunuhan di bangunan tersebut.

Nasib Dredd dan Anderson agak malang kerana bangunan tersebut ditutup sepenuhnya oleh ketua gangster bangunan tersebut. Terdapat rahsia pada bangunan itu yang menyebabkan ketua gangster Ma-Ma tidak boleh melepaskan Dredd dan Anderson hidup-hidup.

Jadikah apakah nasib Judge Anderson dan Judge Dredd? Berjayakah mereka keluar dari bangunan tertutup tersebut hidup-hidup? Atau salah seorang dari mereka akan mati? Yang ini anda perlu tonton sendiri untuk tahu jawapannya.

Adakah kutipan filem ini mampu mengatasi filem asal?

Ironinya, walaupun filem pertama Judge Dredd dibintangi pelakon popular dan dibawa dari komik popular, kutipan filem ini kurang memberansangkan. Salah satunya disebabkan kekurangan publisiti oleh penerbit filem.

Jadi bagaimana agaknya nasib Judge Dredd terbaru ini? Adakah akan mengikuti nasib yang sama seperti filem yang asal? Semuanya di tangan anda. Sekiranya anda rasa filem ini berhak mendapat kutipan yang sepatutnya, luangkanlah masa untuk menonton filem ini.

Saya yakin anda tidak akan menyesal.

Nota : Artikel ini adalah guest post yang ditulis oleh seorang blogger yang ingin dirahsiakan namanya. Terima Kasih!

The following two tabs change content below.

M

Founder OHBULAN! yang kini bergiat secara serius dalam industri media & pengiklanan. Beliau membantu para klien mencapai pelanggan yang berpotensi melalui kempen pengiklanan secara menyeluruh dan berkesan.

SKIP THIS AD ×