berita

Review Filem : Kami Histeria Memang Terbaik!

January 22nd, 2014 | by Ai
Filem Tempatan

Welcome to out new home

Terbaik! Itu sahaja perkataan yang wajar diungkapkan bagi menggambarkan keseluruhan cerita Kami Histeria sebaik sahaja penulis selesai menyaksikan pratonton filem berkenaan tempoh hari.

Boleh dikatakan sudah agak lama penonton di Malaysia tidak disajikan dengan filem-filem Melayu berkualiti tinggi yang mana jalan ceritanya tidak hanya disulami dengan lawak kosong atau sekadar dipenuhi dengan intipati berat dan sukar difahami sepanjang tayangan.

Namun Kami Histeria yang membawa genre komedi seram ini berjaya lari dari pandangan stereotaip sesetengah orang yang sering melabel genre berkenaan sebagai karya syok sendiri.

All 5 girls Celebrating in Van

Meskipun pada mulanya penonton dihiburkan dengan jenaka spontan oleh para pelakon dan hantu itu sendiri, namun nampaknya filem ini tetap tidak tergelincir dari paksinya untuk mempamerkan elemen seram.

Mungkin jika melihat pada poster yang dipaparkan, ada yang berpendapat wajah Cik Lang dilakonkan Fazura terlampau cantik dan tidak cukup menggerunkan bagi watak hantu.

Tetapi hakikatnya, Fazura telah melakonkan watak langsuir dengan baik apabila dia mampu menjiwai karakter Cik Lang yang lemah lembut tetapi menakutkan sambil menuturkan loghat utara.

cik lang at home-angry-2

Tambah menarik lagi, filem ini juga menggunakan suara asal Diana Danielle dan Mila Jirin untuk adegan menyanyi sewaktu mereka jamming dan membuat persembahan.

Tahap professionalisme para pelakon yang diketengahkan sebagai girl band ini sedikit sebanyak membuatkan para penonton percaya bahawa kesemua mereka sememangnya berbakat bermain muzik.

Malah lagu yang digunakan semuanya sedap didengar lebih-lebih lagi apabila khidmat Loque telah digunakan sebagai penerbit muzik filem berkenaan.

Histeria jamming session

Untuk pengetahuan anda, Kami Histeria merupakan idea asal dan lakonlayar Rafidah Abdullah yang mendapat ilham selepas mendengar cerita seram dari penghuni pangsapuri di dalam filem tersebut mengenai suara pelik yang didengar dari hutan bersebelahan.

Secara keseluruhannya, filem arahan Shamyl Othman ini mengisahkan tentang girl band terdiri daripada Laila (Diana Danielle), Peanut (Nad Zainal), Bad (Sara Ali), Airin (Mila Jirin) dan Jojo (Umie Omar) yang terlalu ghairah mengejar kemahsyuran walaupun dengan cara yang salah.

Kisah seram bermula apabila kumpulan yang diberi nama Histeria ini secara tidak sengaja telah merakam suara langsuir di dalam salah sebuah lagu mereka dan ianya telah menyumbang kepada populariti lagu tersebut dalam masa singkat.

The girls reaction to Cik Langs transformation

Oleh kerana lagu-lagu yang lain tidak mendapat sambutan hangat, Histeria kemudiannya membuat perjanjian dengan langsuir yang dikenali sebagai Cik Lang untuk menaikkan semula nama mereka.

Bad berkeras mahu menjejaki Cik Lang di dalam hutan bagi merakam dan meminjam suara langsuir itu walaupun pada awalnya ditegah oleh ahli yang lain.

Biarpun niat mereka diterima baik oleh Cik Lang namun gadis-gadis ini berdepan bahaya apabila hantu itu mengamuk kerana permintaannya tidak ditunaikan.

The girls in the hopsital after the attack

Apakah janji yang telah dibuat oleh Histeria dengan Cik Lang? Mampukah mereka menyelamatkan diri dari diganggu dan cuba dibunuh oleh langsuir berkenaan?

Jom sama-sama bergelak sakan dan alami perasaan seram melampau dengan menonton Kami Histeria yang akan mula menghantui pawagam berdekatan pada 6 Februari 2014.

Sementara itu, apa kata anda tonton dulu trailer Kami Histeria di bawah ini untuk mendapatkan sedikit gambaran mengenai jalan ceritanya. Semoga terhibur!