berita

Review Filem : Skyfall, Bolehkah Mendapat Filem Terbaik 2012?

November 7th, 2012 | by M
Filem Antarabangsa

Sudah hampir seminggu filem terbaru James Bond berada di pawagam. Kalau waktu zaman kanak-kanak dahulu, saya memang peminat setia franchise James Bond. Terutamanya ketika era Pierce Brosnan sebagai ejen Double-O-7. Gajet-gajet yang digunakan memang canggih-canggih belaka. Kereta pun siap boleh kawal secara remote menggunakan handset Sony Ericsson.

Tapi bagi James Bond versi Daniel Craig pula, pengarah telah membawa sebuah ejen 007 dengan stail yang baru. Kini James Bond lebih realistik. Muka lebih kelelakian, kekuatan fizikal yang kuat, dan tidak sekadar bergantung kepada gajet seperti versi-versi lain.

Jadi saya amat yakin filem James Bond versi Daniel Craig akan menerima bias pandangan antara golongan kanak-kanak dan juga dewasa. Di mana kanak-kanak sukakan sesuatu yang ‘ohsem’ manakala dewasa seperti saya inginkan sesuatu yang nampak logik dan realistik. Dan kalau anda perasan, sekarang ini semakin banyak pengarah filem yang cuba menjadikan franchise filem popular supaya lebih realistik. Contohnya Dark Night, Spiderman, dan Dredd 3D.

Okay, cukuplah bebelan saya setakat itu.

Sekarang mari kita terjah sequel terbaru James Bond iaitu Skyfall.

Bajet yang besar dan padat dengan aksi

Berbeza dengan filem aksi Taken 2 yang agak perlahan di permulaan, filem Skyfall memang padat dengan aksi. Pada 5 minit pertama cerita sahaja telah beberapa buah kereta mahal dimusnahkan. Pasar dirobohkan, kereta api dihancurkan dan macam-macam lagi semata-mata untuk menangkap seorang penjahat yang membawa lari dokumen penting milik MI6.

Paling tragis, semata-mata ingin menyelamatkan dokumen tersebut dari dilarikan, nyawa James Bond dipertaruhkan melalui arahan M. Jadi apakah yang terjadi kepada James Bond? Adakah nyawa James Bond terancam? Dan  mengapa dokumen tersebut begitu penting?

Ketahui semuanya dengan menonton Skyfall.

Jika anda masih belum menonton filem ini, pasti anda tertanya apakah itu ‘Skyfall’? Adakah ia merujuk kepada zaman kejatuhan James Bond yang paling teruk sepanjang hayatnya? Atau adakah Skyfall merupakan nama organisasi penjenayah utama dalam filem ini? Kalau anda perasan, filem-filem Bond sebelum ini pun banyak menggunakan nama antagonis utama sebagai tajuk. Antaranya seperti Dr. No, Golden Finger, dan Octopussy.

Skyfall terbaik dari segi cinematografi

Bagi penggemar filem, mungkin ada daripada anda yang pernah mendengar istilah ini. Tapi bagi yang tak tahu, cinematografi bermaksud fotografi di dalam filem. Dalam filem ini, cinematografi berjaya ditunjukkan dengan jayanya. Permainan warna yang berkesan dan mampu memberi perasaan tertentu yang bersesuaian dengan adegan.

Dalam Skyfall, terdapat tiga lokasi berbeza yang menjadi latar belakang cerita. Anda boleh tonton Bond beraksi di Shanghai, Macau, dan juga Scotland. Tambahan pula di Scotland terdapat babak pertarungan di waktu malam. Situasi yang agak kabur dan kelam ini juga salah satu cinematografi yang berkesan bagi saya.

Skyfall mempunyai aura Dark Night

Saya tak tahu ini sekadar kebetulan atau tidak, tapi ketika menonton Skyfall, terdapat beberapa babak yang buatkan saya rasa seperti saya sedang menonton Dark Night. Salah satu daripadanya, penjahat utama di dalam cerita ini mempunyai kekuatan yang sama seperti Joker di dalam Dark Night.

Mereka mempunyai perancangan yang begitu teliti dan hampir setiap perbuatan mereka mempunyai sebab musababnya yang tersendiri. Mereka juga tidak kisah apabila nyawa mereka terancam, dan tidak kisah dengan wang ringgi. Cuma berbeza dengan Joker, Silva mempunyai sebab-sebab tertentu untuk membalas dendam kepada M.

Seperti Bond, Silva dahulu pun merupakan agen rahsia di bawah M. Tetapi apakah yang menyebabkan Silva berubah arah menjadi ‘villain’?

Apakah komplot sebenar Silva?

Adakah Silva sekadar ingin membalas dendam atau pun alasan balas dendam ini hanyalah gimik semata-mata? Kalau kita cuba ingat balik filem Die Hard 3, hero dan seluruh polis telah ditipu oleh antogonis utama. Aktiviti pengeboman yang dikatakan untuk tujuan balas dendam rupa-rupanya hanyalah satu taktik untuk mengalih perhatian pihak polis dari tujuan sebenar mereka.

Jadi adakah Silva mempunyai perancangan begitu juga? Saya syorkan anda tonton filem ini untuk mengetahui segala persolan di atas. Filem ini memang berbaloi ditonton.

Cuma kalau boleh, elakkan menonton ketika mengantuk kerana jalan ceritanya agak panjang. Lebih daripada 2 jam dan jika tertidur walau sekejap pun, mungkin anda akan hilang arah.

The following two tabs change content below.

M

Founder OHBULAN! yang kini bergiat secara serius dalam industri media & pengiklanan. Beliau membantu para klien mencapai pelanggan yang berpotensi melalui kempen pengiklanan secara menyeluruh dan berkesan.