berita

Review Filem : The Smurfs 2, Lebih Comel & Lucu

August 5th, 2013 | by Ai
Filem Antarabangsa

Screen Shot 2013-07-31 at 4.00.46 PM

Jika sekarang, masih ramai lagi yang tak habis dengan demam Minion kuning, lepas ini, kami pasti ramai yang akan demam dengan Smurf biru pula. Keduanya sama, comel, lucu dan mempunyai karakter tersendiri. Bezanya, Smurf boleh bercakap dengan bahasa manusia.

Bagi para peminat filem animasi, anda pasti masih belum lupa dengan gelagat dan filem The Smurfs sebelum ini dimana kejahatan dan sifat tamak Gargamel (Hank Azaria) telah hampir memusnahkan kewujudan Smurf. Ahli sihir jahat ini cuba untuk menggunakan kelebihan yang ada pada Smurf demi menghasilkan sihirnya.

Namun, walaupun Gargamel telah mencipta Smurfette (Katy Perry) sebagai bahan ujikajinya, akhirnya Papa Smurf (Jonathan Winters) berjaya mengubah Smurfette menjadi Smurf sejati.

Menerusi filem The Smurfs 2 yang bakal ditayangkan tak lama lagi, Gargamel telah kembali semula dengan rancangan jahatnya. Dia bukan sahaja mahu mengambil pati Smurf untuk melaksanakan sihirnya, malah dia bercadang untuk mendapatkan resipi rahsia pati Smurf dari Smurfette.

Melalui rancangannya ini, Gargamel yang telah mencipta Vexy (Christina Ricci) dan Hackus (J.B Smoove) telah menghantar Vexy ke dunia Smurf dan menculik Smurfette yang keliru dengan kehadirannya di dunia Smurf.

Screen Shot 2013-07-31 at 3.58.15 PM

Vexy & Hackus, bahan ujikaji Gargamel yang tamak

Screen Shot 2013-07-31 at 3.57.32 PM

Smurfette, ciptaan pertama Gargamel yang telah menjadi Smurf sejati

Rancangannya ini berhasil dan Vexy bersama Hackus kemudiannya berpura-pura menjadi sahabat baik kepada Smurfette sehingga membuatkan Smurfette merasakan mereka adalah keluarganya yang sebenar.

Ketika inilah, Papa Smurf bersama-sama Clumsy, Vanity dan juga Grouchy Smurf telah pergi ke dunia manusia untuk menyelamatkan Smurfette. Namun mereka sebenarnya sudah terlambat apabila Smurfette yang terpedaya telah pun memberikan formula rahsia pati Smurf kepada Gargamel.

Screen Shot 2013-07-31 at 3.59.10 PM

Papa Smurf bersama, Clumsy, Vanity dan Grouchy Smurf

Tidak membiarkan begitu sahaja, kawan kepada Smurf iaitu Patrick (Neil Patrick Harris) dan bapanya Victor (Brendan Gleeson) telah muncul disaat genting dan menghancurkan rancangan Gargamel. Gargamel yang terkejut dengan kehadiran mereka bukan sahaja tidak sempat melawan, malah dia terpaksa menanggung akibat apabila bekas kaca yang memuatkan pati Smurf meletup didepannya.

Bagaimanapun, Gargamel masih lagi hidup dan cuba untuk menghapuskan mereka semua. Namun, apakah yang akan terjadi? Adakah Gargamel berjaya melunaskan dendamnya. Berjayakah Smurf menyelamatkan diri walaupun selepas diselamatkan oleh Patrick dan Victor?

Nota Penulis

Tidak hanya hadir dengan pakej animasi kartun sahaja, pengarah filem berjaya membuatkan para penonton di pawagam tidak kering gusi dengan telatah dan gelagat lucu Smurf. Walaupun ia masih menjerumus kepada misi Smurf untuk menyelamatkan Smurfette dan menghalang Gargamel dari menguasai dunia, watak Patrick dan juga Victor juga menarik perhatian apabila kisah mengenai dua beranak ini tetap ditekankan dan tidak tenggelam didalam watak-watak lucu dan comel Smurf.

Kualiti animasi The Smurfs 2 juga memang tidak boleh dinafikan lagi. Gabungan diantara dunia manusia dan dunia kartun tidak sedikit pun memberikan rasa janggal kepada para penonton dan rata-rata berpuas hati dengan filem franchise arahan Raja Gosnell ini.

Bagi anda yang sudah tak sabar untuk menonton sambungan dari filem The Smurfs ini, ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 8 Ogos ini. Filem ini turut dialih ke bahasa Melayu dengan menggunakan suara selebriti terkenal seperti Datuk Aznil Nawawi sebagai Gargamel, Hafizuddin Fadzil (Papa Smurf), Lisa Surihani (Smurfette), Zizan Razak (Vanity), Elfira Loy (Vexy) dan Ray (Grouchy). Mari tonton trailer The Smurfs 2 selepas ini ya!

SKIP THIS AD ×