
Pelakon terkenal Indonesia, Reza Rahadian mendedahkan dirinya mengambil masa dua bulan sebelum memberi keputusan bersetuju membintangi filem Langit 2 Warna yang merupakan karya sepenuhnya, Erma Fatima.
Artikel Berkaitan: ‘Langit 2 Warna’ Arahan Erma Fatima Berjaya Buat Eman Manan Rasa ‘Ghairah’
Watak mencabar

Reza, 39, berkata, hal ini kerana dia berasa ragu-ragu dengan kemampuannya menggalas watak bernama Salafi dalam karya tersebut yang disifatkan cukup mencabar.
Ambil masa kira-kira dua bulan untuk saya benar-benar memikirkannya kerana watak itu agak sukar. Saya berada dalam keadaan tertanya-tanya, adakah saya mampu membawakan watak ini.
Pada masa sama, saya masih mempunyai satu lagi perkara yang perlu diselesaikan berkaitan skrip saya sendiri yang sedang saya tulis ketika ini, jadi semuanya agak bercampur-baur.
Reza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon Langit 2 Warna di sebuah hotel, di ibu negara, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Reza memberitahu cabaran membawakan watak tersebut bukan hanya terletak pada pembentukan karakter, sebaliknya dia perlu mendalami pelbagai emosi dan memahami mesej tersirat di sebalik dialog dilontarkan.
Saya rasa watak ini agak berat kerana ia banyak menyentuh mengenai bagaimana agama turut menjadi pegangan dalam kehidupan manusia.
Perkara itu agak sukar untuk diterokai dengan lebih mendalam, termasuk subteks yang terdapat dalam dialog dan setiap babak. Jadi, ia sememangnya mencabar buat saya.
Saya tidak boleh mengatakan ini adalah perkara paling sukar pernah saya lakukan sepanjang kerjaya, tetapi ia sememangnya watak yang sangat mencabar.
Dalam pada itu, Reza turut meluahkan keterujaan apabila bakal bergandingan dengan aktres dari Malaysia, Ummi Nazeera yang memegang watak Innara dalam filem berkenaan.
Langit 2 Warna yang mengangkat konflik cinta, agama dan keluarga turut membariskan pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia termasuk Christine Hakim, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datin Seri Umie Aida dan Eman Manan.
Filem arahan Erma Fatima itu bakal menjalani penggambaran di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Mesir pada November ini sebelum dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.






![[VIDEO] Syed Saddiq Teruja Nak Kahwin, Akui Bahagia Temui Bella Astillah – ‘Kenapa Malu? Saya Bersyukur’](https://asset.ohbulan.com/2026/09/syed-saddiq-8.jpg)

