berita

Rezeki ‘Sendu’, Faezah Elai Dilamar Jadi Wajah Kempen

June 12th, 2023 | by Zulaikha
Kini Trending

Lebih 17 tahun menceburi bidang seni, pelakon Faezah Elai mengakui dia sudah tidak aktif seperti dulu sejak memegang gelaran ibu.

Cuti sekolah boleh pertimbang

Menurut Faezah, tawaran berlakon tidak pernah putus sehingga sekarang namun dia memilih untuk memfokuskan kepada keluarga. Kata pemilik nama Noor Faezah Md Elai, dia enggan menyusahkan pihak produksi selain selesa berlakon di bawah arahan suami, Heykal Hanifah.

Status saya sebagai ibu khususnya memerlukan saya memberi perhatian rapi kepada anak. Saya tidak pernah menyesali keadaan ini. Ikutkan tawaran berlakon drama dan filem tak pernah putus sampai saat ini.

Cuma saya terpaksa tolak secara baik, kerana tak mahu menyusahkan produksi. Senang cerita, saya memang banyak berlakon di bawah arahan suami sendiri. Kalau ada tawaran pengarah dan produksi lain, jika kena dengan watak dan waktu… insya-Allah saya boleh pertimbangkan terutama kalau cuti sekolah.

Jadi apabila tumpuan lebih kepada keluarga, saya banyak curi masa mempromosi perniagaan sendiri dan terbaharu bersama jenama Mawar Cotton.

Meskipun ada yang menganggap dirinya sudah ‘sendu’, Faezah terkejut menerima lamaran menjadi wajah kempen baju kurung koleksi raya Aidiladha dipanggil Hajeera Edition keluaran jenama Mawar Cotton.

Saya anggap ini rezeki terindah. Jujur hingga saat ini saya rasa macam masih bermimpi dengan tanggungjawab dan amanah diberikan selama sebulan untuk kempen raya haji ini.

Rezeki ini juga sebenarnya membuka kisah lama apabila pihak mereka berpuas hati apabila ulasan dan promosi baju kurung dibuat di Instagram (IG) tiga atau empat tahun lalu membuatkan tak menang tangan dan laku keras.

Saya pun sudah tak ingat dengan kisah berkenaan. Tapi syukur, di sebalik ada yang menganggap saya sendu, ada jenama yang berani memilih saya. Kata mereka, koleksi itu kena dengan personaliti saya.

Pendek kata, rekaannya sesuai dengan gaya dan cita rasa saya. Rekaannya juga rare dan tak polos. Motif yang direka dan dihasilkan bagai memberi nyawa kepada baju kurung jenama itu.

Ada tarikan & keistimewaan

Sementara itu, pengasas jenama itu, Nik Hetty Eliya Nik Ab Rahman, berkata, pemilihan artis berstatus ibu kepada lima cahaya mata itu didorong dengan alasan yang konkrit dan bertepatan dengan sasaran pelanggan mereka.

Awalnya kami pernah menggunakan khidmat dia (Faezah) ketika mempromosikan koleksi terdahulu yang kami keluarkan beberapa tahun lalu. Percaturan kami mengena apabila ulasan dan promosi dilakukannya mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan penggemar jenama kami.

Lagipun koleksi Hajeera Edition kali ini bertepatan dengan gaya dan caranya yang menawan menggayakan kurung bercetak. Justeru, kami yakin boleh mengubah dia menjadi anggun dan lebih menyerlah dengan koleksi kami keluarkan.

Malah ketika sesi siaran langsung di media sosial, pembabitannya juga kena dengan kelompok sasaran kami iaitu lebih kepada orientasi wanita Muslimah, keluarga. Tak lupa, kandungan yang dipromosikan di media sosial juga dekat dengan masyarakat.

Diaju persoalan kenapa memilih Faezah, 40, yang dilihat kurang meniti populariti atau suam-suam kuku, Nik Hetty Eliya ada hujahnya tersendiri.

Mungkin ada yang mengandaikan kami patut memilih artis atau selebriti yang lebih popular berbandingnya. Tapi dengan apa yang kami perhati selain kerjasama terjalin, dia ada keistimewaan dan tarikan tersendiri.

Kami juga cuba melawan arus dan percaya setiap daripada kita ada rezeki masing-masing. Begitu juga dengannya. Ini juga langkah sulung kami mengambil artis sebagai wajah kempen atau wakilan.

Lamaran dan perbincangan kami mengintainya sejak April lalu juga dipermudahkan. Dia tak banyak songeh dan sangat menyenangkan.

Koleksi sebanyak 13 pilihan warna terdiri daripada kurung pleated (enam warna) dan kurung scallope (tujuh warna) itu sudah dilancarkan sejak 9 Jun lalu.

Di samping itu, setiap RM1 dari hasil jualan baju rekaan Cahaya Palestina akan disumbangkan ke badan amal terpilih untuk saudara Islam di Palestin. Untuk info lanjut boleh ke pautan https://linktr.ee/mawarcottonHQ.

Sumber: Instagram

SKIP THIS AD ×