Dijangkiti Influenza A, baru-baru ini, pelakon dan penyampai radio, Riena Diana mengaku trauma selepas mengalami kesakitan yang teruk akibat wabak tersebut.
Berdoa jangan dijangkiti lagi
Menurut Riena, dia berdoa setiap hari agar tidak dijangkiti oleh penyakit itu lagi. Meskipun sudah pulih sepenuhnya, Riena memberitahu pengalaman yang dilalui ketika dijangkiti Influenza A itu boleh disifatkan agak teruk.
Saya tak nafikan, sekarang memang rasa trauma dengan penyakit Influenza A ini. Ia disebabkan rasa sakit yang teruk dan apa boleh saya kata, sakitnya lebih menyakitkan berbanding dijangkiti Covid-19 yang pernah dialami juga.
Saya pernah dijangkiti Covid-19 sebanyak tiga kali sebelum diuji dengan jangkitan Influenza A itu. Tapi, kesan kesakitannya masih boleh saya hadap lagi. Namun, dijangkiti Influenza A ini memang buat saya jadi trauma dan tak mahu terkena lagi.
Tambah Riena, dia bersyukur kerana sudah semakin sihat dan akan sentiasa menjaga kesihatan diri tidak kira di mana saja dia berada. Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal turut memberitahu dia mengalami asma. Riena ditemui pada sidang media secara virtual drama Cinta Buat Dara lakonannya bersama Syafiq Kyle dan Sean Lee, hari ini. Drama Cinta Buat Dara akan disiarkan slot Lestary TV3 mulai 24 Ogos ini, jam 9 malam dari Rabu hingga Sabtu.