Anak kepada pelakon, Rita Rudaini iaitu Airit Rayyan Rizqin sekali lagi membuktikan kemampuannya dalam sukan olahraga apabila berjaya mencatat rekod baharu bagi acara 110 meter lari berpagar pada Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026 mewakili pasukan Selangor.

Artikel Berkaitan: ‘Remaja Hari Ini Bukan Tak Boleh Ditegur, Mereka Cuma Tak Terima Teguran Yang Datang Dengan Ego’ – Rita Rudaini 

Artikel Berkaitan: Rita Rudaini Kongsi Momen Anak Solat Tepi Mesin ATM Ketika Bercuti, Netizen Puji Cara Didikan

Sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi

Selain mencipta rekod dalam acara tersebut, Rayyan turut menunjukkan aksi memberangsangkan apabila meraih pingat perak dalam acara 100m dan pingat gangsa bagi acara 200m.

Menurut Rita, kejayaan yang diraih oleh anak sulungnya itu merupakan hasil dedikasi, ketekunan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang menjalani sesi latihan.

Dalam pada itu, Rita turut menzahirkan rasa syukur dan bangga melihat kesungguhan Rayyan yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik setiap kali turun beraksi.

Saya sangat bersyukur dan bangga dengan pencapaian Rayyan.

Apa yang dikecapinya hari ini adalah hasil kerja keras serta komitmennya sendiri.

Terima kasih kepada semua jurulatih, guru, pihak MRSM, rakan-rakan sepasukan dan semua yang sentiasa memberi tunjuk ajar, doa serta sokongan sepanjang perjalanan ini.

Sehubungan itu, Rita berharap pencapaian tersebut dapat menjadi pemangkin semangat buat anaknya untuk terus mengorak langkah lebih jauh dalam bidang olahraga, selain memberi inspirasi kepada golongan muda agar terus berusaha gigih demi merealisasikan cita-cita mereka.