Haa.. Berita baik untuk semua rakyat Malaysia! Mulai 30 September 2025, korang dah boleh isi minyak RON95 pada harga RM1.99 seliter je melalui inisiatif terbaru kerajaan iaitu BUDI95.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, umumkan perkara ni pada 22 September lepas. Katanya, semua rakyat Malaysia yang ada lesen memandu sah akan terus automatik layak nikmati subsidi ni. Tak kisahlah korang kerja apa, gaji berapa atau menetap di mana.

Subsidi khas untuk rakyat Malaysia sahaja

Anwar jelaskan, BUDI95 ni diwujudkan untuk pastikan subsidi minyak hanya dinikmati rakyat Malaysia, sambil jimatkan belanja negara untuk tujuan lain yang lebih penting.

Katanya lagi, penjimatan hasil BUDI95 akan disalurkan balik kepada rakyat melalui bantuan macam STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA, selain terus tambah baik sektor kesihatan, pendidikan dan infrastruktur asas.

Harga untuk rakyat asing berbeza

  • Warga asing yang guna kenderaan berdaftar Malaysia: kena bayar harga tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
  • Kenderaan berdaftar luar negara: hanya boleh isi RON97 je, sama macam peraturan sebelum ni.

Ada had penggunaan – tapi cukup untuk majoriti rakyat

Kerajaan tetapkan manfaat ni pada 300 liter sebulan je. Tapi jangan risau, ikut statistik Jabatan Perangkaan, lebih 99% pemilik kenderaan persendirian di Malaysia guna kurang daripada jumlah tu.

Untuk pemandu e-hailing, korang tak terikat dengan had 300 liter. Boleh mohon kuota lebih tinggi ikut keperluan kerja.

Senang je nak tebus – guna MyKad je!

Tak perlu daftar pun, semua rakyat Malaysia automatik layak. Nak isi minyak nanti, korang cuma perlu:

  • Sentuh MyKad kat pam atau kaunter, ATAU
  • Guna aplikasi digital macam Touch ‘n Go eWallet, Setel (Petronas) atau CaltexGO.

Pihak Kementerian Kewangan pesan supaya pastikan cip MyKad korang berfungsi dan lesen memandu masih sah. Kalau sebelum ni korang dah pernah guna MyKad untuk tebus SARA atau bantuan kerajaan lain, maknanya kad tu ok dan tak perlu risau.

Tarikh pelaksanaan ikut fasa – elak sistem sesak

  • 27 September 2025 – Akses awal untuk 300,000 anggota polis & tentera
  • 28 September 2025 – Akses awal untuk penerima STR
  • 30 September 2025 – Dibuka untuk semua 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang ada lesen memandu sah

Dengan penurunan harga ke RM1.99 seliter, mesti ramai rasa lebih tenang dan senang hati bila isi minyak.

#BudiMadaniRON95 #ManfaatRakyat