Pengacara dan penyanyi, Roslan Shah yang lebih dikenali sebagai Cik Lan, mencuri tumpuan tahun ini dengan kejutan istimewa selepas melancarkan muzik video lagu raya berjudul Alamak Terlepas Bas Raya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Walaupun Sibuk Dengan Kerja Seni, Tanggungjawab Jaga Bapa Tiri Tetap Nombor Satu’ – Roslan Shah

Artikel Berkaitan: ‘Kenapa KRU Pilih DSV Tapi Bukan Saya? – Roslan Shah Persoal Vida Nyanyi ‘Lagu Happy’

Roslan Shah harap ramai suka

Menurut Cik Lan, muzik video itu mula ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube MBK Film Studio pada Sabtu lalu.

Alhamdulillah, muzik video ‘Alamak Terlepas Bas Raya’ sudah ditayangkan hari ini di YouTube MBK Film Studio.

Ini kali pertama saya buat lagu raya yang lengkap dengan muzik video.

Sebelum ini tak pernah buat lagi.

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan komposer Akie Theflow, manakala lirik ditulis bersama oleh Akie dan Cik Lan sendiri.

Cik Lan menjelaskan bahawa projek ini bermula sekadar ingin mencuba, namun dia berharap ia disukai peminat.

Lagu ini sebenarnya sekadar mencuba sahaja.

Kita tak tahu kalau ada rezeki dan peminat suka.

Sebenarnya saya hadiahkan lagu ini kepada Gen Z yang selama ini menyokong saya, sebab itu saya pilih konsep lagu yang rancak.

Inspirasi pengalaman sendiri

Muzik video ini turut mendapat sokongan penajaan daripada syarikat kereta dari Singapura, NJ Cardealers.

Penggambaran dijalankan di Perkampungan Klang, Selangor, dan berjaya disiapkan hanya dalam tempoh sehari walaupun berlangsung pada bulan Ramadan.

Cik Lan juga menggunakan khidmat penari profesional dari Kuala Lumpur untuk menambah keseronokan dan tenaga visual dalam muzik video tersebut.

Projek ini diterbitkan dan dipasarkan oleh Ali Najib yang banyak menyumbang idea kreatif, manakala pengarahan muzik video dikendalikan oleh Fazly dengan kerjasama pihak penaja termasuk Ramadan dari NJ Cardealers.

Selain itu, Cik Lan turut menampilkan penyanyi Yassin Yahya dalam projek lagu raya tahun ini kerana merasakan mereka mempunyai keserasian.

Saya tawarkan Yassin Yahya untuk projek lagu raya 2026 ini sebab saya rasa serasi.

Sebelum ini Yassin pernah sertai program ‘Night Walk’ bersama saya dan saya lihat dia sangat komited, profesional serta mudah bekerjasama.

Berkongsi lebih lanjut mengenai proses rakaman, Cik Lan berkata sesi rakaman vokal dilakukan di sebuah studio di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum bulan Ramadan dan mengambil masa kira-kira lima jam untuk disiapkan.

Lebih menarik lagi, lagu Alamak Terlepas Bas Raya diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Cik Lan sendiri kira-kira 20 tahun lalu.

Cerita lagu ini datang daripada pengalaman saya sendiri.

Dulu saya pernah terlepas bas ketika nak balik Singapura sebab jem teruk di Kuala Lumpur pada bulan puasa, lebih kurang tiga hari sebelum raya.

Itu kenangan yang saya tak boleh lupa.

Daripada pengalaman tersebut, Cik Lan dan Akie Theflow berjaya menulis lirik yang membentuk jalan cerita lagu raya Alamak Terlepas Bus Raya.

Selain lagu raya ini, Cik Lan turut memperkenalkan sebuah lagi lagu raya berjudul Sassuey Raya, sebuah duet bersama Ifa Raziah di bawah Impact Music Entertainment.

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Ady 6ixth Sense manakala liriknya ditulis oleh Emma Rocker.

Kehadiran dua lagu raya serentak tahun ini menunjukkan komitmen Cik Lan untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri 2026 dengan karya yang berbeza gaya dan warna untuk para peminat.