berita

Rugi Hampir RM70K, Andi Bernadee Buat Laporan Polis Dakwa Ditipu Rakan Baik

August 25th, 2021 | by Amat
Kini Trending

Penyanyi Andi Bernadee tampil membuat laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap rakan baiknya atas dakwaan fitnah dan pecah amanah membabitkan kerugian hampir RM70,000.

Sanggup kacau periuk nasi

Foto: BH Online

Memetik laporan BH Online, difahamkan rakan baiknya itu antara individu yang telah membawa Andi menceburi bidang seni. Malah, mereka juga sudah banyak kali bekerjasama dalam beberapa projek. Penyanyi ini tidak sangka rakan baiknya itu sanggup memalukan dirinya dan menabur fitnah kepada syarikat produksi.

Andi mula menyesaki dirinya ditipu apabila bayaran kerja pada awal tahun belum diterima lagi. Segalanya terbongkar apabila Andi sendiri rujuk perkara tersebut kepada pihak klien yang menyatakan bayaran tersebut telah dijelaskan.

Tidak disangka, insan yang saya percaya dan bawa ke dalam industri seni, malah pernah mengerjakan umrah bersama, sanggup kacau periuk nasi, memalukan dan memfitnah saya kepada syarikat produksi. Wang itu hasil titik peluh untuk dua tugasan sepanjang tahun ini. Saya tidak merasa langsung bayaran itu.

Saya mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila bayaran hasil kerja sejak awal tahun ini masih belum diterima. Apabila saya rujuk perkara itu kepada klien, mereka beritahu bayaran sudah dijelaskan kepada individu terbabit sebelum Aidilfitri lalu.

Bertanya kepada rakan saya itu mengenai soal bayaran, dia beri alasan resit hilang dan klien belum melunaskannya, walhal dia songlap duit saya. Dia juga memanipulasi mesej WhatsApp saya dan menghantarnya kepada klien hingga mereka percaya lalu membuat transaksi bayaran ke akaun peribadinya.

Kami berkawan baik

Tambah Andi lagi, dia memerlukan wang tersebut bagi menyara keluarga di kampung dan sedih apabila perkara ini menimpanya.

Saya bertemu dengannya pada 15 Ogos lalu untuk mendapatkan penjelasan. Namun, dia tidak mengendahkan pertanyaan saya itu. Malah, aksi yang ditunjukkan seolah tiada apa-apa yang berlaku. Kesal dengan sikapnya itu, saya memutuskan membuat laporan polis.

Saya ambil tindakan ini kerana tidak mahu ada orang lain jadi mangsanya… Dia masih lagi aktif dalam industri seni. Kami berkawan baik. Dia pernah membantu saya sebelum ini. Saya beri kepercayaan kepadanya untuk menguruskan kerjaya, tetapi akhirnya, dia sanggup tipu saya.

Pada era pandemik COVID-19 ini, saya perlu wang untuk menyara keluarga di kampung. Apatah lagi, saya ada adik yang masih bersekolah. Apabila kena tipu, sudah tentu saya sangat sedih.

Sumber: BH Online

SKIP THIS AD ×