Sebut mengenai “cukai” atau “tax” mesti ramai antara kita yang serabut dan gelisah, kan? Kalau korang antara yang mengalami masalah yang sama, korang tak keseorangan! Sebenarnya, nak uruskan cukai pendapatan ni tak lah serumit yang disangka.

Zaman sekarang semuanya dah dihujung jari. Ini caranya untuk fahami cara paling simple untuk uruskan cukai korang sebelum terlambat!

Semudah kira cukai sendiri

Untuk pengetahuan korang, Malaysia mengamalkan Sistem Taksir Sendiri (STS) menerusi e-Filing. Maksudnya, tanggungjawab sepenuhnya ada atas bahu kita sendiri sebagai pembayar cukai.

Secara ringkasnya, korang cuma perlu ingat formula 3 langkah mudah ni:

  • Isi (Isytihar): Isytihar pendapatan korang melalui e-Filing di Portal MyTax.
  • Kira: Kirakan jumlah cukai yang sepatutnya dibayar.
  • Bayar: Buat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Settle masalah, mudah bukan?

Adakah saya diwajibkan bayar cukai?

Ini antara soalan yang paling selalu orang tanya. Jawapannya mudah, kalau korang ada pendapatan yang diperoleh di Malaysia dan melebihi syarat kelayakan, korang mungkin wajib bayar cukai.

Tak kisahlah korang ni makan gaji, bos business, freelancer, pemandu e-hailing, konsultan atau ejen komisen.

Mitos Pendapatan: “Eh, kilang/pejabat saya dah tolong potong PCB (Potongan Cukai Bulanan) setiap bulan, buat apa kena e-Filing lagi?”

Faktanya: Korang TETAP kena hantar e-Filing! PCB tu hanyalah anggaran awal sahaja. Jumlah cukai sebenar cuma boleh tahu selepas korang buat pengisytiharan penuh. Kot-kot ada lebihan bayaran, boleh dapat refund balik!

Bukan itu sahaja, pekerja asing yang cari rezeki di Malaysia pun tertakluk kepada cukai tau bergantung kepada status mastautin mereka. Begitu juga dengan entiti perniagaan seperti Sdn. Bhd. atau enterprise.

Senang macam bayar bil elektrik! Ini cara nak bayar cukai

Dah tak ada zaman kena beratur panjang dekat kaunter semata-mata nak bayar cukai. HASiL dah sediakan macam-macam channel pembayaran yang mesra pengguna:

  • ByrHASiL (Portal MyTax): Cara paling senang guna internet banking (FPX). Had bayaran yang tinggi sampai RM5 juta untuk individu dan RM250 juta untuk syarikat!
  • ATM: Sesuai untuk korang yang lebih selesa dengan cara konvensional.
  • Pembayaran secara terus di kaunter: Boleh bayar terus di kaunter ejen sah HASiL atau melalui perbankan internet bank masing-masing.
  • Sistem e-TT: Khas untuk korang yang tak ada akaun bank Malaysia atau nak buat bayaran dari luar negara guna Telegraphic Transfer (TT).

Korang cuma perlukan Nombor Bil (ada dekat notis taksiran) atau Nombor Identifikasi Cukai (TIN) korang. Klik, bayar. serius mudah!

Risau nak bayar cukai sekaligus? Bayaran secara (e-Ansuran) turut tersedia!

HASiL pun faham bukan semua orang mampu nak bayar cukai secara sekali gus (lump sum). Sebab tu wujudnya fasiliti e-Ansuran di Portal MyTax. Korang boleh mohon untuk bayar secara bulan-bulan.

Tapi, ada syaratnya:

  • Baki cukai pendapatan korang mestilah melebihi RM300.
  • Tempoh bayaran ansuran adalah antara 2 hingga 6 bulan.

Berita baiknya, permohonan e-Ansuran ni boleh diluluskan secara ‘auto’ tau melalui sistem online. Tak perlu susah-susah nak hantar surat atau pergi HASiL.

Ini caranya untuk semak bayaran sudah masuk atau belum

Dah bayar mesti nak tahu status kan? Senang je, korang masuk balik portal MyTax

Menerusi portal MyTax anda berpeluang menyemak akaun cukai seakan bank statement korang. Kat sini korang boleh semak:

  • Rekod bayaran Cukai Pendapatan dan Cukai Pegangan.
  • Rekod potongan PCB oleh majikan (siap ada tarikh potongan sekali).
  • Baki cukai tertunggak atau kalau ada lebihan bayaran (kredit).

Catat tarikh ni kalau tak mahu kena penalti 10%!

Tolong set reminder dalam smartphone korang sekarang! Ini tarikh akhir untuk korang hantar Borang Nyata Cukai Pendapatan:

  • Individu TIADA Pendapatan Perniagaan (Makan Gaji): Sebelum 15 Mei.
  • Individu ADA Pendapatan Perniagaan (Bisnes/Freelance): Sebelum 15 Julai.

Jangan tangguh-tangguh tau. Kalau korang kantoi bayar lewat, korang boleh dikenakan kenaikan cukai sebanyak 10% di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967. Kan dah rugi kat situ!

Sebenarnya, bayar cukai ni bukanlah satu bebanan, tapi ia adalah sumbangan kita untuk pembangunan negara tercinta. Jalan raya, hospital, dan sekolah yang kita guna hari-hari, semuanya dibiayai hasil daripada cukai rakyat.

Jadi, tunggu apa lagi? Ayuh jadi rakyat yang bertanggungjawab. Jalankan kewajipan korang dengan isytihar dan bayar cukai korang tepat pada masanya! Demi masa depan negara kita juga!