
Pempengaruh dan usahawan, Ryzal Ibrahim meluahkan rasa bimbang terhadap trend segelintir selebriti yang gemar berkongsi konflik rumah tangga secara terbuka di media sosial sehingga menjadi perhatian umum.
Artikel Berkaitan: ‘Elakkan Bergaduh Depan Anak, Jangan Jadikan Penat Sebagai Alasan’ – Ryzal Ibrahim
Jaga aib pasangan
Ketika ditemui OhBulan!, Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 33, berkata, masalah rumah tangga adalah perkara biasa, namun cara seseorang menguruskan konflik tersebut mencerminkan tahap kematangan.
Ramai sekarang berdepan masalah rumah tangga, terutama rakan selebriti. Kawan-kawan saya pun ada melalui fasa sama. Bila diselidik, setiap satu ada sebab tersendiri.
Kami sendiri tak lari daripada bergaduh. Itu biasa. Cuma jangan sampai buka aib. Perkara dalaman rumah tangga biarlah kekal dalam rumah.
Ambil contoh idola kami, Erra Fazira. Orang mungkin kata beberapa kali berkahwin, bukan soal gagal, mungkin tiada jodoh. Tapi adakah kita tahu masalah sebenar beliau? Tidak. Itulah contoh paling matang.
Tambah Ryzal lagi, tindakan meluahkan keburukan pasangan ketika emosi sedang memuncak hanya memberi kepuasan sementara, namun membawa kesan buruk dalam jangka panjang.
Membuka aib pasangan sama seperti mengkhianati individu paling dekat dalam kehidupan sendiri. Bila bergaduh, simpan. Tak perlu dedah. Tak ada kebaikan pun.
Mungkin dapat tawaran kerja setahun dua, tapi masyarakat akan ingat kita sebagai pembuka aib sampai bila-bila.
Itu pasangan kita, ibu atau ayah kepada anak-anak, orang tidur sebantal dan tahu kelemahan kita. Takkan sanggup dedahkan aib sendiri? Itu tak matang.
Dalam masa sama, Ryzal mengingatkan tentang pendedahan aib bukan sahaja akan merosakkan imej diri, malah boleh menghakis rasa hormat dan kasih sayang dalam hubungan.
Bila seorang mula dedah aib, hormat akan hilang. Dari situ, rasa sayang turut pudar. Nasihat saya, simpan masalah dalam rumah tangga.
Jangan kongsi dengan media, malah ahli keluarga sekali pun kalau boleh elakkan. Kalau berpisah, berpisahlah secara baik tanpa buka aib sesiapa.