Pengalaman berbeza dilalui pelakon dan penggiat seni, Sabri Yunus apabila buat pertama kalinya bergandingan dengan robot humanoid, Nexora dalam persembahan dikir barat.

Artikel Berkaitan: Sabri Yunus Beri Pandangan Isu Teater Pelajar Universiti – ‘Seni Mestilah Bersandarkan Hukum Agama’

Artikel Berkaitan: Tak Berani Ambil Risiko, Sabri Yunus Hanya Jawab Pertanyaan Isteri Sahaja – ‘Orang Lain Boleh Terus Tanya Kepada Ustaz’

‘Berlatih sekali sahaja’ – Sabri Yunus

Menariknya, Sabri berkata dia hanya berkesempatan menjalani satu sesi latihan pada malam sebelum persembahan yang berlangsung di majlis penutup Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan.

Acara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu diadakan bersempena Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi 2026 (E-STI) di MAEPS, Serdang pada 16 November lalu.

Ini kali pertama saya berdikir barat dengan robot. Kami sempat berlatih sekali sahaja pada malam sebelum persembahan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Menurut Sabri, gabungan seni tradisional dan teknologi berpotensi menjadi pendekatan menarik untuk mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya tempatan.

Ini sesuatu yang baharu bagi saya. Ia boleh menarik minat anak-anak muda untuk menyelami budaya sambil mempelajari sains dan teknologi.

Secara tidak langsung membuka peluang kepada semua pelajar, yang datang untuk seni pun boleh melihat pelbagai projek sains di sini, manakala mereka yang datang untuk pertandingan sains boleh menikmati seni tradisi yang dipersembahkan.

Persembahan dengan robot berbeza

Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Nexora, Sabri menjelaskan persembahan bersama robot mempunyai kelainan berbanding kebiasaannya apabila dia boleh berbalas pantun dan bersahut-sahutan secara spontan dengan rakan sepersembahan.

Dengan robot, semuanya sudah dirancang, termasuk lirik yang disiapkan lebih awal. Tetapi itu bukanlah kekurangan, kita kena menerima persembahan yang sedikit berbeza.

Saya seronok dan penonton pun teruja melihat dikir barat dipersembahkan bersama robot.

Mengulas mengenai hubungan antara seni dan sains, Sabri berpandangan kedua-dua bidang itu sebenarnya mempunyai kaitan rapat meskipun sering dianggap sebagai cabang yang berbeza.

Sekarang kita guna mikrofon dan pembesar suara. Zaman dahulu pun orang sudah memikirkan bagaimana suara boleh didengari dengan jelas ketika membuat persembahan.

Pantulan suara itu sendiri ialah satu contoh unsur sains dalam seni.

Tambahnya, perkembangan kecerdasan buatan (AI) juga boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk memperbaiki mutu sesebuah karya mahupun persembahan seni.

Dalam masa sama, Sabri menyifatkan usaha memperkenalkan dan mengembangkan seni dikir barat kepada generasi muda sebagai tanggungjawab yang perlu digalas oleh penggiat seni.

Saya bukanlah guru yang mengajar subjek di sekolah tetapi sebagai orang seni saya seronok melihat anak-anak di sekolah rendah sudah diajar tentang budaya dan dikir barat.

Kalau saya sudah tiada nanti, merekalah yang akan mewarisi kesenian ini.

Selagi hayat dikandung badan, saya akan curahkan segala ilmu yang ada kepada generasi akan datang.

Selain dikir barat, majlis berkenaan turut menampilkan beberapa persembahan kesenian tradisional lain termasuk Boria dari Pulau Pinang, Tarian Zapin dari Johor dan Tarian Bugang dari Sabah.