Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1447 Hijrah pada Sabtu, 21 Mac 2026.

Artikel Berkaitan: ‘Ketika Pulang Beraya, Jangan Biarkan Haiwan Peliharaan Kelaparan Di Rumah’ – Ustaz Wadi Annuar

Raya Sabtu!

Pengumuman rasmi mengenai tarikh tersebut disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi siaran langsung di RTM TV1.

Menurut Syed Danial, penetapan itu dibuat selepas mengambil kira hasil cerapan anak bulan Syawal di seluruh negara.

Maka Hari Raya Aidilfitri bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada Sabtu, 21 Mac 2026.

Proses penentuan tarikh penting dalam kalendar Islam itu dilakukan melalui cerapan rasmi di 29 lokasi strategik di seluruh Malaysia, termasuk di Bukit Jugra, Teluk Kemang serta Bukit Tanjong Batu.

Penetapan ini sekaligus menjadi panduan kepada umat Islam di negara ini dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Sejak beberapa hari lalu, timbul spekulasi dalam kalangan masyarakat apabila tarikh 1 Syawal 1447H dijangka jatuh lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac berbanding jangkaan asal pada 21 Mac.

Khabar angin tersebut mula tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai perbincangan, khususnya dalam kalangan mereka yang sudah merancang perjalanan pulang ke kampung dan persiapan menyambut lebaran.