berita

Saingan Makin Sengit, Ini 6 Sebab Korang WAJIB Tonton Mentor Milenia 2019!

December 2nd, 2019 | by Azizi Rahman
Shout Out!

Sekarang sedang hangat berlangsungnya program realiti nyanyian popular TV3, Mentor Milenia yang sudah hampir sampai ke penghujungnya. Sudah melepasi minggu ke-8, seorang demi seorang protege telah disingkirkan bagi mencari juara sebenar rancangan yang sudah memasuki musim ketiga ini.

Program Mentor ini seharusnya diberikan pujian kerana ia telah melahirkan banyak penyanyi yang kini sudah semakin mencipta nama seperti Hael Husaini, Aiman Hakim, Aina Abdul, dan juga Black yang juga merupakan salah seorang Mentor pada musim ini. Haaa power kan? Jadi, untuk kali ini apa kata kami kongsikan enam sebab kenapa korang WAJIB tonton program mentor musim ini supaya korang tidak rasa ketinggalan dan menyesal nanti.

1.  Penampilan dua mentor wanita

Mungkin ramai yang sudah tahu, pada Mentor Milenia musim lalu, hanya tiga orang mentor sahaja yang beraksi dan terlibat dalam program ini. Mereka tidak lain dan tidak bukan adalah tiga orang penyanyi lelaki popular tanah air ini iaitu Black, Akim dan juga Hazama.

Namun berbeza pada kali ini, dua orang mentor wanita ditampilkan bagi menambah seri program tersebut dan ia semestinya adalah Stacy dan Ernie Zakri. Ia menjadikan sebanyak lima orang mentor bersaing pada musim ini di samping mengekalkan ketiga-tiga mentor sebelum ini.

Jadi, siapa tahu mungkin musim ini juara bakal memihak kepada mentor dan protege baru iaitu Ernie Zakri atau Stacy? Sama-sama kita nantikan!

2. Saingan antara Akim & Stacy

Mungkin ramai yang sudah tahu dan perasan, terdapat satu pasangan selebriti yang telah terlibat dan ditampilkan bagi menjadi mentor pada musim ini. Ia semestinya adalah Akim dan Stacy yang mana mereka bakal berentap bersama-sama dan menyaingi antara satu sama lain bagi merebut gelaran juara.

Wow! Menarik kan? Mesti ramai peminat mereka di luar sana yang ‘pening kepala’ untuk menyokong salah seorang daripada mereka. Tapi tak mengapa, yang pastinya kedua-dua mentor ini akan bersaing secara sihat bagi memastikan persembahan serta vokal protege mereka nanti ‘gempak’ di atas pentas.

3. Seorang protege pernah dapat perhatian Faizal Tahir

Kalau nak tahu, pada persembahan minggu keenam yang lalu, salah seorang protege yang bersaing telah mendapat perhatian seorang komposer dan juga penyanyi popular iaitu Faizal Tahir. Protege kepada Hazama, Apex Tajudin telah mempersempahkan lagu dari Faizal Tahir bertajuk Sejati sehingga mendapat pujian paling bermakna penyanyi asal lagu itu.

Tidak terhenti di situ sahaja, persembahan Apex pada minggu itu telah viral di laman media sosial dan menjadi bualan ramai netizen yang turut kagum dan memuji persembahannya. Jadi, ini pastinya sudah cukup membuktikan bahawa para peserta pada program Mentor Milenia kali ini bukannya calang-calang malah hebat-hebat belaka.

Jadi, korang memang WAJIB untuk tonton program ini sampai ke minggu akhir untuk melihat sendiri siapakah yang bakal bergelar juara dan seterusnya memeriahkan industri hiburan tanah air selepas ini.

4. Barisan juri tetap yang memang power

Mentor Milenia musim ini turut dimeriahkan dengan penampilan dua orang juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi rap, Altimet. Kedua-dua juri ini memang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air, malah ilmu serta kebolehan mereka dalam menilai setiap peserta juga turut diakui penonton.

Yang pastinya, kedua-dua juri tersebut akan menjadikan program ini lebih gamat dan secara tidak langsung bakal membuatkan kesemua protege mempersembahkan persembahan yang terbaik bagi menarik hati mereka berdua.

5. Pengacara yang lawak dan sporting

Seperti yang kita tahu dan sering lihat, Shuk Sahar dan Elly Mazlein seringkali digandingkan sebagai pengacara dalam banyak program. Untuk Mentor Milenia kali ini, mereka telah diberi kepercayaan dan sekali lagi digandingkan bersama untuk mengacara program ini.

Gandingan serasi serta lawak yang sering ditonjolkan oleh mereka berdua pastinya akan membuatkan korang tidak bosan sepanjang menonton program ini sehingga ke penghujungnya. Dengan lagak Elly yang manja serta jenaka Shuk yang bersahaja, ia menjadikan program ini lebih meriah dan menarik.

6. Protege yang sangat berbakat

Mentor Milenia pada kali ini juga telah menampilkan 10 protege yang sangat hebat dan berbakat dengan majoritinya adalah lelaki dan hanya dua protege wanita. Bagaimanapun, ia tidak akan mematahkan semangat kedua-dua peserta wanita ini apatah lagi mereka juga pastinya mempunyai bakat luar biasa yang boleh ditonjolkan bagi menyaingi 8 peserta lain.

Sudah tentu, kesemua protege yang layak hingga ke peringkat ini memiliki kekuatan masing-masing dan akan melakukan sehabis mungkin bagi merebut gelaran juara bagi musim ini.

Jadi apa lagi, jangan lupa saksikan Mentor Milenia musim ketiga pada setiap hari Ahad, jam 9 malam di TV3 yang hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi.

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×