berita

Sakit Hati Lamaran Ditolak, Lelaki Sanggup Bakar Bekas Kekasih Hidup-Hidup

July 13th, 2021 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Seorang gadis dipercayai telah dibakar hidup-hidup oleh bekas kekasih gara-gara menolak lamaran seorang lelaki. Mangsa yang dikenali sebagai Siti Zahra telah ditemui di kebun ubi kayu oleh penduduk Desa Suradita di Tangerang, Banten, Indonesia.

Gadis dibakar hidup-hidup

Mangsa yang berusia 19 tahun itu dilaporkan hilang sehari sebelum mayatnya ditemui terbakar. Penemuan mayat gadis malang berkenaan dijumpai oleh penduduk tempatan yang hendak bercucuk tanam dan mangsa dikatakan masih dalam keadaan terbakar serta berasap pada ketika dijumpai.

Menurut Ketua Polis Daerah Selatan, Assisten Komisioner Imam Imanuddin, motif pembunuhan dipercayai kerana mangsa dan keluarganya telah menolak lamaran pemuda berkenaan. Susulan daripada itu, lelaki terbabit berasa marah dan tidak boleh menerima kenyataan bahawa lamarannya ditolak.

Jelasnya lagi, kedua-dua suspek yang berusia 20 tahun dan juga 42 tahun itu berjaya ditangkap kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan gadis berkenaan.

Motif suspek adalah disebabkan dendam terhadap mangsa dan keluarga. Suspek 1 mempunyai hubungan dengan mangsa dan ketika dia melamar mangsa, suspek dan keluarganya ditolak oleh keluarga mangsa.

Keluarga tolak lamaran bekas kekasih

Walau bagaimanapun, bapa mangsa, Aziz telah tampil untuk memberi penjelasan mengenai alasan mereka menolak lamaran tersebut serta mendedahkan tindakan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan dilihat seperti mengugut keluarganya.

Lelaki berkenaan pernah melamar anak saya dua atau tiga minggu yang lalu. Ya saya tolak lamaran tersebut.

Bapanya memberitahu bahawa antara punca dia menolak lamaran tersebut adalah disebabkan anaknya masih muda dan lelaki berkenaan dikatakan telah datang ke rumahnya sebanyak dua kali bagi tujuan sama.

Akibat menolak lamarannya, lelaki berkenaan bertindak mengeluarkan surat perjanjian yang dibuatnya sendiri untuk ditandatangani oleh Aziz. Surat berkenaan mengatakan bahawa jika terjadi sesuatu pada Siti Zahra, ahli keluarga tidak boleh menuntutnya.

Saya hanya cakap, abang jaga adik abang, saya jaga anak saya. Saya tidak faham dengan ugutan itu. Adakah anak saya hamil dan dia nak lepaskan tanggungjawabnya? Saya cakap setahu saya anak saya masih lagi datang bulan dan tidak mungkin dia akan memalukan keluarganya.

Namun, ahli keluarga mangsa masih lagi menunggu keputusan bedah siasat di Hospital Polis Kramat Jati.

Sumber : Makassar.terkini.id

SKIP THIS AD ×