
Pelakon, Nadia Brian memohon orang ramai untuk terus mendoakan yang terbaik buat dirinya dan usahawan, Nedim Nazri selepas timbul dakwaan mengatakan hubungan mereka sedang bergolak.
Artikel Berkaitan: Nora Danish Tumpang Gembira Lihat Nedim & Nadia Brian Bahagia – ‘Itu Antara Doa Saya’
‘Doakan yang baik’
Spekulasi itu tercetus apabila peminat menyedari keduanya tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai status hubungan mereka.
Mengulas perkara tersebut, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 34, berkata hubungan mereka masih berada pada peringkat awal perkenalan.
Biasalah, kita perempuan kadang-kadang begitu. Kami masing-masing pun sibuk bekerja. Lagipun hubungan kami masih baru dalam fasa perkenalan.
Apa pun saya hanya doakan yang baik-baik dan harap semua orang pun doakan yang baik-baik juga, lebih-lebih lagi sekarang bulan Ramadan.
Nadia berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.
Dalam pada itu, Nadia mengakui dia sebenarnya berasa segan untuk terlalu terbuka berkongsi hal peribadi, terutamanya berkaitan kisah cinta.
Kalau hal peribadi, sebenarnya saya agak malu untuk bercerita atau berkongsi secara terbuka. Saya bukan jenis yang mahu bercerita semata-mata untuk dapatkan perhatian.
Tambahan pula saya pernah melalui pengalaman sebelum ini, jadi bagi saya soal hubungan itu lebih kepada perkara peribadi.
Tetapi saya faham peminat risau dan sayangkan kita. Jadi saya sangat menghargai sokongan mereka. Apa yang saya boleh kongsi, saya akan kongsi. Tapi ada perkara yang saya lebih selesa simpan sebagai hal peribadi.
Terdahulu, hubungan Nadia dan Nedim atau mesra disapa Boss Ned mula menjadi perhatian ramai sejak hujung tahun lalu apabila mereka dilihat saling berkongsi kemesraan menerusi media sosial.