berita

‘Sampai Bila Nak Macam Ini?’ – Pasir Gudang Makin ‘Tenat’, Netizen Desak Tindakan Pantas Kerajaan Negeri

June 24th, 2019 | by Amat
Kini Trending

Sekali lagi Pasir Gudang, Johor Bahru dilanda teruk pencemaran udara kesan daripada insiden di sungai Kim Kim beberapa bulan yang lepas. Menurut sumber Bernama, beberapa orang pelajar di beberapa buah sekolah di Pasir Gudang telah mengalami sesak nafas dan muntah sejak awal pagi tadi.

8 buah sekolah terlibat

Antara sekolah terlibat dalam insiden ini ialah SMK Tanjung Puteri Resort, SK Tanjung Puteri Resort, SK Pasir Putih 1, SK Pasir Gudang 2, SK Taman Pasir Putih 1, SMK Taman Megah Ria, SK Taman Rinting 2 dan SMK Bandar Seri Alam.

Tambahan, tiada lagi pengesahan laporan mengenai jumlah pelajar terlibat namun difahamkan insiden berlaku ketika pembelajaran sesi pagi sehingga waktu rehat. Sembilan buah ambulans dari Hospital Sultan Ismail dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dikejarkan ke sekolah berkenaan untuk membawa pelajar keluar.

Kesemua mangsa diberi rawatan awal

Sebahagian mangsa sudah dibawa ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) untuk diberi rawatan awal. Malah, terdapat beberapa agensi ditempatkan di stadium bagi membantu mangsa-mangsa di kawasan ‘hot area’.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pegawai-pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan dan badan-badan bukan kerajaan.

Ditutup empat hari sehingga 27 Jun

Sementara itu, Kerajaan Johor mengeluarkan arahan untuk menutup sementara 14 lagi sekolah di Pasir Gudang susulan gelombang kedua pencemaran udara. Menurut Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar keputusan itu dibuat kerana ada lagi tiga buah sekolah dilanda simptom sesak nafas dan muntah.

Pihak Bomba terima panggilan jam 11 pagi tadi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia dan SK Kopok. Setelah saringan dibuat, 20 dikesan mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

Jadi Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik buat ketetapan supaya sekolah yang berada dalam jajaran lokasi kejadian ditutup empat hari sehingga 27 Jun ini.

Institusi pengajian awam, sekolah agama kerajaan Johor, pra sekolah dan Tadika turut terlibat.

Sehingga 3.30 petang tadi seramai 13 mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail dan 49 mangsa menerima rawatan di Stadium Tertutup dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Foto insiden di Pasir Gudang

Sumber: Bernama, Julie Juliana

SKIP THIS AD ×