berita

Sanggup Hancurkan Rumah Tangga Kakak Sendiri Demi Cinta, Saksikan Konflik Dua Beradik Dalam Drama Ikatan Cinta Di TV9

January 25th, 2022 | by Shahira
Shout Out!

Drama sinetron dari negara seberang, Indonesia sememangnya tidak pernah mengecewakan. Jalan cerita serta maksud tersirat yang disampaikan dalam setiap drama sememangnya menyentuh emosi setiap penonton.

Kini drama popular dari Indonesia iaitu Ikatan Cinta bakal ditayangkan di TV9 bermula 26 Januari 2022 (esok).

Drama Ikatan Cinta penuh emosi

Ikatan Cinta mengisahkan tentang dua beradik iaitu Andin (Amanda Manopo) dan Elsa (Glenca Chysara)  yang tanpa sedari sebenarnya telah mencintai lelaki yang sama iaitu Nino lakonan Evan Sanders. Hubungan mereka tidak pernah baik dan akhirnya menjadi semakin buruk selepas Elsa mendapat tahu bahawa Nino akan mengahwini kakaknya, Andin.

Hubungan Nino dan Andin mendapat restu Pak Surya (Surya Saputra) tetapi ditentang oleh Elsa dan Bu Sarah (Natasha Dewanti). Meskipun Nino hanyalah bekas teman lelakinya, tetapi Elsa masih menaruh harapan dan mengharapkan cinta Nino. Tetapi sayangnya, hati lelaki itu sudah dimiliki oleh Andin.

Mampukah mereka bahagia?

Elsa merupakan anak bongsu dalam keluarga malah Bu Sarah sangat menyayangi puteri kesayangannya itu. Apa yang diingini Elsa pasti akan dituruti. Oleh hal demikian, Elsa mula mengambil kesempatan dengan merancang pelbagai cara licik untuk menghancurkan hubungan kakaknya dan Nino. Namun ianya langsung tidak mempengaruhi hubungan Nino dan Andin, akhirnya mereka bernikah. Tetapi siapa sangka, selepas bernikah, Elsa sekali lagi merancang untuk meruntuhkan rumah tangga mereka.

Fitnah yang dilemparkan Elsa kepada kakaknya membuatkan kepercayaan Nino terhadap Andin semakin pudar. Bermula dari situ, satu demi satu masalah yang timbul. Mampukah Elsa merampas tempat Andin di hati Nino? Atau adakah segala kebenaran akan terbongkar?

Nak tahu apa kesudahannya, jangan lupa saksikan Ikatan Cinta yang akan ditayangkan TV9 bermula 26 Januari 2022 (isnin-khamis) jam 7:40 malam.

Bermula 26 Januari 2022

SKIP THIS AD ×