Sudah lama kita tidak mendengar khabar daripada pelakon kecil molek ini bukan? Nampaknya, walaupun sudah bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata, Sari Yanti mampu tampil anggun seperti masih remaja.
Artikel Berkaitan: Anggun Seperti Sari Yanti
Bagaimanapun, pelakon yang mula dikenali menerusi drama ‘Kisah Kaisara’ ini dilihat agak kurang aktif dalam industri. Susulan itu, timbul desas-desus mengatakan bahawa pelakon berusia 30 tahun ini mahu jadi lebih eksklusif.
Sari Yanti sibuk uruskan rumahtangga
Sari ketika ditemubual di sidang media ‘Fear Factor Malaysia’ semalam mengakui bahawa dia sememangnya mahu mengurangkan kemunculannya di kaca televisyen.
“Tapi bukanlah sampai dikatakan eksklusifkan diri dalam lakonan. Sebenarnya kesempatan itu yang tiada. Bila ada tawaran berlakon, sering clash dengan kerja lain.
Sekarang ini saya masih ada buat penggambaran sikit-sikit. Orang kata, asalkan ada pun sudah cukup. Mungkin saya nak ceburi kerja belakang tabir seperti mengarah.”
Pelakon yang mula menceburi industri sebagai model iklan ini juga menambah bahawa faktor komitmen terhadap keluarga turut menghalangnya untuk bergiat aktif dalam industri. Menurutnya lagi, kedua orang anaknya masih kecil dan memerlukan perhatian penuh.
Sari Yanti bersama pasangan peminat untuk program ‘Fear Factor Malaysia’
Dalam pada itu, Sari sempat berkongsi pengalamannya pabila bergelar salah seorang peserta untuk rancangan ‘Fear Factor Malaysia’.
“Masa mula-mula mereka tawarkan saya masuk rancangan ini memang saya menolak. Takut kot nak masuk ‘Fear Factor’. Peserta wanita yang lain macam Adira dan Erin Malik memang jenis yang lasak. Saya ni dahla tua, siap ada 2 orang anak pula.
Tapi bila mereka pujuk, saya akhirnya setuju dan rasa saja nak cabar kemampuan diri sendiri. Orang akan tanya kenapa saya nak buat cabaran itu? Tapi bila kita dah mampu buat, orang akan tanya macamana pula kita buat perkara itu. Soalan-soalan itu mendatangkan kepuasan buat saya dan saya nak lalui perasaan itu.”
Ditanya mengenai cabaran yang paling sukar untuk dilakukan dalam rancangan tersebut, Sari Yanti memberitahu bahawa dia mengalami masalah untuk melaksanakan cabaran yang berkaitan dengan makanan.
“Paling susah bila ada cabaran untuk makan. Sebab saya kena paksa diri saya dan ianya memang menyeksakan. Cabaran macam itu kena guna kekuatan mental.
Kalau mental tak kuat, memang akan muntah. Tapi partner saya, Anbia banyak bagi dorongan pada saya. Kalau kalah pun tak mengapa, janji kami mencuba.”
Untuk makluman pembaca OHBULAN!, penggambaran program ‘Fear Factor Malaysia’ yang dibuat di Cape Town, Afrika ini telah berlangsung selama sebulan dan bakal disiarkan pada 15 Februari depan. Sebelum itu, apakata kita lihat dulu koleksi foto terbaru Sari Yanti.