Hari Kebangsaan ke-65 negara tercinta bakal tiba tidak lama lagi. Semestinya, rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat sedang giat membuat persiapan untuk meraikan hari bersejarah negara kita.
Apabila tibanya tanggal 31 Ogos, Jalur Gemilang akan dipasang pada kereta serta kawasan kediaman sebagai tanda patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Waktu sebegini juga sesuai untuk layan filem-filem patriotik seperti ‘Talentime’, Bukit Kepong dan banyak lagi!
3 sekawan mahu bebas
Bagi meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, syarikat media terbesar di Malaysia iaitu Media Prima Berhad atelah menerbitkan sebuah drama komedi pendek yang bertajuk ‘3 Sekawan’. ‘3 Sekawan’ mengisahkan tiga sekawan cilik iaitu Faiz, Ah Chong dan Danush yang berkumpul untuk menyambut Hari Kebangsaan di kampung mereka. Setelah mengatur sebuah rancangan besar dan nakal demi kebebasan mutlak, berlakunya huru-hara di kampung tersebut apabila tiga sekawan itu cuba memperbetulkan segala-galanya sebelum tibanya hari yang bermakna itu.
Berdasarkan peristiwa sebenar, ‘3 Sekawan’ dibintangi barisan pelakon terkenal Malaysia termasuk Dato’ Rahim Razali, Kazar Saisi, Redza Rosli, Sherry Ibrahim dan Mandy Chong. Siri pendek yang terbahagi kepada empat episod ini adalah sebahagian daripada kempen #BebasBersama oleh Media Prima Berhad untuk mendidik, mengingatkan dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia terutamanya generasi muda tentang pengorbanan wira tempatan kita dalam memastikan negara bebas dan merdeka.
Tonton secara percuma!
Korang semua boleh menonton ‘3 Sekawan’ secara percuma pada 31 Ogos 2022 di TV3 pada 9 malam, NTV pada 9.30 pagi atau TV9 pada 10.30 malam. Korang juga boleh menonton filem pendek ini secara penuh di https://www.tonton.com.my/.