Tanggal 26 Julai 2025, ruang Mega Star Arena Plaza Sungei Wang, Kuala Lumpur telah bertukar menjadi lautan hitam dan emas.

Artikel Berkaitan: Konsert Hari Pertama My Chemical Romance ‘Sold Out’ Dalam 90 Minit, Penganjur Umum Hari Kedua

Dua kumpulan lagenda

Warna tema ini bukan sekadar gaya, tetapi simbol prestij, kenangan dan penghargaan buat dua kumpulan legenda muzik tanah air Slam dan Exists yang bergabung dalam konsert epik bertajuk Slam X Exists ‘Our Journey’.

Sekitar 5,000 penonton hadir, masing-masing tampil bergaya dan penuh semangat untuk menyaksikan malam yang cukup bermakna ini.

Sebelum tirai persembahan dibuka, penonton disajikan dengan tayangan video perjalanan kerjaya seni kedua-dua kumpulan.

Video montaj membawa penonton menelusuri liku-liku perjuangan, kejayaan dan pengaruh besar mereka dalam industri muzik tanah air sekali gus ada penonton yang senyum mengenang nostalgia.

Sebaik sahaja lagu Jesnita berkumandang disusuli Kembali Merindu, ruang Arena Mega Star bergema dengan sorakan. Aura dua nama besar ini cukup kuat, satu pertemuan yang dinanti-nantikan oleh peminat tegar.

Penuh nostalgia

Slot pertama diberikan kepada Exists. Ezad Lazim selaku vokalis yang tidak perlu diperkenalkan lagi, mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.

Julung kalinya Exists dan Slam bersama dalam satu pentas. Bertuah anda semua malam ini.

Exists tampil mantap dengan deretan lagu seperti Mama Tolonglah Percaya, Anugerah II, Masih Terserlah Ayumu, Seperti Dulu dan Kapal Terbang Kertas. Penonton turut terbuai dengan Bunga, Julia, dan tentunya Rahsia Pohon Cemara yang mengundang gegaran emosi.

Ketika Langkah Seiringan dan Mengintai Dari Tirai Kamar dinyanyikan, hampir seluruh arena turut menyanyi ibarat terbentuk satu kumpulan koir spontan pada malam tersebut.

Menariknya, Exists turut menyanyikan lagu Tak Mungkin Berpaling, lagu asal Slam yang pernah dirakam semula oleh mereka. Ezad menjelaskan, lagu itu cukup dekat di hati mereka.

Energi penonton yang ‘sporting’

Seterusnya, semasa lagu Kerana Percayakan Siti, Ajai menyeru semua penonton berdiri dan ternyata mereka amat ‘sporting’, membuktikan bahawa muzik sememangnya tidak mengenal usia.

Antara yang mencuri perhatian malam itu ialah kehadiran individu penting di sebalik kejayaan Exists, penerbit dan komposer ternama seperti Mr. Tan, Datuk Aziz Bakar, dan Saari Amri.

Usai Exists, pentas diserahkan kepada Slam. Dengan langkah penuh karisma, Slam membuka slot mereka dengan lagu Nurkasih, diikuti Kita Tetap Bermusuhan, Kurnia dan Manisnya Rindu.

Zamani mengambil peluang untuk meminta semua penonton mendoakan kesembuhan bekas pengurus Slam, Johan Aziz yang sedang diuji dengan sakit. Suasana hening seketika, dibaluti rasa hormat dan kasih sayang.

Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian dari hidup kita seperti Biarkan Ia Pergi, Jika Kau Rasa Getarnya, Suratan, Gerimis Mengundang, dan Menteri Muncul Lagi. Setiap bait lirik dinyanyikan dengan penuh jiwa, dan penonton juga tidak ketinggalan menyumbang suara.

Slam turut mempersembahkan medley tiga lagu popular mereka iaitu Buat Seorang Kekasih, Bukan Niat Membalas Derita, dan Maria Mariana.

Persembahan berharga

Detik paling menyentuh mungkin saat Slam membawakan lagu Untukmu Ibu milik Exists. Suara bergema, mata bergenang. Lagu itu benar-benar menembusi ruang hati.

Menuju ke penghujung malam, kedua-dua kumpulan kembali bersatu di pentas, Exists dan Slam tampil bersama menyampaikan Kembali Terjalin dan Alasanmu 2025.

Ketika dua lagu itu disampaikan, suasana menjadi luar biasa. Seperti dua sungai yang akhirnya bertemu di muara, harmoni itu dirasai dari setiap sudut ruang arena.

Tiga jam berlangsung, namun seakan hanya sekelip mata. Energi penonton kekal membara dari mula hingga akhir. Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi perayaan buat muzik yang telah menemani kita puluhan tahun lamanya.

Konsert Slam X Exists ‘Our Journey’ dianjurkan oleh SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records.