Bukan calang-calang penghormatan, penyanyi Ernie Zakri mencipta momen cukup istimewa apabila berpeluang menyanyikan lagu klasik Perancis, La Vie En Rose bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Artikel Berkaitan: ‘Kadang-Kadang Saya Penat Untuk Berkarya..Pencapaian Yang Kecil Pun Tetap Dinilai & Dipersoalkan’ – Ernie Zakri

Penghormatan besar

Lebih membanggakan, peluang berkenaan hadir dalam sebuah majlis jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Detik penuh bermakna itu berlangsung sempena lawatan rasmi dua hari Macron ke Malaysia, sekali gus menjadi pengalaman cukup berharga buat Ernie apabila dapat mempersembahkan karya seni di hadapan pemimpin tertinggi negara Perancis itu.

Bagi Ernie, peluang tersebut bukan sekadar satu persembahan biasa, sebaliknya penghormatan besar yang akan dikenang sepanjang perjalanan karier seninya.

Diberi penghormatan untuk membuat persembahan di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, merupakan detik yang amat bermakna dalam perjalanan seni saya.

Peluang menyanyikan La Vie En Rose bersama beliau menjadikan pengalaman ini lebih istimewa dan akan kekal sebagai kenangan yang saya hargai sepanjang hayat. Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk membawa suara dan seni Malaysia ke pentas ini.