KL Festival (KL Fest) kembali menggegarkan ibu kota bermula 6 sehingga 31 Mei 2026. 

KL Festival

Dengan membawa tema ‘Ingatan & Masa Depan’, festival ini akan mengambil alih 25 lokasi bersejarah dan ruang awam untuk meraikan kekayaan budaya Malaysia menerusi lebih 80 aturcara yang merangkumi 700 jam pengisian seni. 

Dianjurkan oleh Think City bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pesta ini merupakan sebahagian daripada pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kreatif Reka Bentuk UNESCO yang bertujuan memupuk jati diri sivik dalam kalangan warga kota.

Keunikan edisi kali ini terletak pada kepelbagaian persembahan yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari secara inklusif, di mana 90% daripada acaranya adalah percuma untuk orang awam. 

Antara sorotan utama yang bakal menghiasi pentas seni tempatan termasuklah pementasan Fragments of Tuah oleh Mark Teh dan Faiq Syazwan Kuhiri di ASWARA serta persembahan tarian Pending oleh January Low yang bertempat di Dewan Nenek Moyang Chan She Shu Yuen. 

Penonton juga berpeluang menyaksikan karya antarabangsa seperti Origin of a Tale oleh Collectif Kahraba dari Lubnan di Rumah Tangsi, pementasan Chapter 2 oleh Pichet Klunchun dari Thailand, serta Lessons of Silence oleh Agnes Christina dari Indonesia di Godown Arts Centre.

Bermula 6 Mei 2026

Bagi peminat seni tempatan yang mencari kelainan, festival ini turut membawakan naskhah bermakna seperti teater Siapa Cacat yang diterajui oleh produksi golongan OKU di GMBB dan persembahan The Wayang Women yang menghidupkan semula wayang kulit dengan sentuhan moden di Dataran Merdeka. 

Suasana kota juga akan dimeriahkan dengan acara Jogeton yang menampilkan joget lambak dan pertandingan tarian, manakala Auditorium Bandaraya pula akan bergema dengan alunan Irama Pusaka yang menggabungkan Orkestra KL, Gangsapura, serta pemuzik adiguru dari Borneo.

Selain persembahan pentas, KL Fest 2026 menawarkan pengalaman visual yang memukau melalui Warung Terang yang mentransformasikan lorong-lorong kota dengan pemetaan unjuran cahaya oleh Filamen, serta pameran Seni Pemasangan Awam dengan kerjasama KL Architecture Festival. 

Bagi mereka yang ingin bersantai bersama keluarga, program Berkelah di Bawah Layar menyediakan suasana wayang pacak yang nostalgik di Dataran Merdeka, sementara Planet KL pula mengajak pengunjung meneroka ekosistem hidupan liar di River of Life. 

Turut tidak ketinggalan adalah bengkel kreatif di Artskap ASWARA, acara filem mingguan bersama FINAS, serta pameran dokumentasi The Making of Merdeka Textile Museum di Stadium Merdeka Foyer.

KL Festival 2026 bukan sekadar keraian seni, malah ia merupakan jemputan terbuka bagi semua orang untuk mengenali semula Kuala Lumpur dengan cara yang tidak disangka-sangka. 

Dengan sokongan pelbagai kementerian dan sektor korporat, pesta ini dijangka akan terus memacu ekonomi kreatif dan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab budaya serantau. 

Maklumat lanjut mengenai jadual penuh dan penglibatan komuniti boleh didapati melalui laman sesawang rasmi klfestival.com.my.