Pelakon, pengacara dan pelawak popular, Syed Muradzi Syed Shamsul atau lebih dikenali sebagai Dee, mengakui mengambil masa hampir 19 tahun untuk melepaskan rasa kehilangan sahabat baiknya, Allahyarham Syeikh Munir Syeikh Mahmud atau mesra dipanggil Moon, yang meninggal dunia akibat serangan strok pada 9 November 2005.

Artikel Berkaitan: Azharina Menangis Dengan ‘Dr Healing’, Terlalu Penat Emosi & Mental

Artikel Berkaitan: Daniel Cheang Cipta Nama Tanpa Sorotan, Tetap Konsisten Dalam Dunia Seni

Berat terima kehilangan

Menurut Dee, arwah Moon bukan sahaja teman rapat, malah rakan kongsi perniagaan apabila mereka bersama-sama mengusahakan salun selepas dirinya tidak lagi aktif di kaca televisyen.

Selepas saya tidak lagi muncul di TV, arwah tetap ada bersama. Kami bekerja bersama di salun setiap hari seolah-olah sudah seperti keluarga.

Sebab itu bila dia pergi, saya sangat terkesan. Saya seorang yang bila sudah sayang, saya akan sayang sepenuh hati. Buruk baik saya terima. Jadi bila arwah meninggal, memang berat untuk saya terima.

Ketika perkongsian bersama Dr Healing iaitu Dr Hisham Dzakiria, Dee berkata, pemergian arwah membuatkannya mengalami tekanan emosi hingga hampir dua bulan hidup dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Meskipun sudah 20 tahun berlalu, Dee yang menahan sebak berkata rasa rindu tidak pernah sedetik hilang.

Selepas pengebumian, saya balik ke Kuala Lumpur dan ketika di KLIA, saya rasa kosong. Hampir dua bulan saya tidak mampu urus diri, malah ada kawan yang datang rumah suap makan.

Setiap kali sebut pasal arwah Moon, saya pasti sebak dan menangis. Rindu itu masih ada walaupun sudah 20 tahun dia pergi.

Tambah Dee, setiap kali menunaikan umrah, dia tidak pernah lupa menitipkan doa buat arwah.

Dalam perkongsian yang sama, Dee turut mengimbas kembali bagaimana arwah Moon sebenarnya bercita-cita membuka restoran sendiri sebelum pemergiannya, namun hasrat itu tidak kesampaian.

Kali kedua saya di hadapan Kaabah, saya serahkan segalanya kepada Allah. Saya minta ampun untuk arwah Moon. Masa itu baru saya benar-benar melepaskan, walaupun rindu itu tetap ada setiap hari.

Kini saya bersama Zack Zaid dan isterinya, Nurul Natasha membuka restoran Saprah KL. Zack sudah lebih 25 tahun menjadi pengurus saya dan dia bersama isterinya banyak membantu menjayakan impian ini. Saya percaya arwah pasti bangga kerana saya teruskan sesuatu yang dia cintai.

Menangis bukan tanda lemah

Sementara itu, Dr Hisham menasihati Dee agar tidak memendam rasa terlalu lama sebaliknya meluahkan perasaan kerana ia sebahagian daripada proses penyembuhan.

Dr Hisham kata, menangis bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan kerana kita berani meluahkannya. Beliau malah buat sesi terapi menggunakan botol berisi air.

Saya diminta pegang botol itu beberapa minit sebelum melepaskannya ke lantai sebagai simbolik kepada melepaskan kesedihan dan beban emosi.

Mengakhiri perbualan, Dee berkata, kehilangan sahabat karib menjadikan dirinya lebih menghargai nilai persahabatan dan kasih sayang.

Kasih sayang bukan mudah untuk dijual beli. Bukan semua orang sanggup ada dengan kita ketika susah dan senang. Saya selalu anggap arwah Moon seperti pergi bercuti. Hakikatnya, doa dan ingatan adalah cara saya melepaskan rindu.