Selepas desas-desus mengenai perceraian hangat diperkatakan, akhirnya Penerbit Eksekutif TV3, Muhamad Sufian Che Isa mengesahkan perceraian dengan bekas isteri iaitu penyanyi dangdut terkenal Mas Idayu.

Artikel Berkaitan: Macam Pasangan Baru Bercinta! Mas Idayu Jumpa Suami Dua Kali Seminggu

Artikel Berkaitan: Suka Kongsi Hantaran Bentuk Ceramah, Mas Idayu Nafi Post ‘Broken’ Ada Kaitan Rumah Tangga Bergolak

Sah cerai

Memetik laporan Harian Metro, Sufian memaklumkan mereka sudah bercerai pada Mac lalu.

Dalam masa yang sama, penerbit berusia 54 tahun itu berkata, tiada lagi jodoh diantara mereka apabila dia dan Mas Idayu hanya dapat melayari bahtera perkahwinan selama tiga tahun sahaja.

Walau bagaimanapun, Sufian tetap menerima takdir yang ditentukan Allah SWT dan memilih untuk mengakhirinya dengan jalan yang baik.

Memang betullah gosip itu. Kami dah sah bercerai pada 4 Mac lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam. Punca perceraian, saya anggap kami sudah tiada jodoh saja.

Bagaimanapun, hubungan antara kami masih lagi baik sebagai sahabat. Tapi, jodoh kami nampaknya sampai di sini saja dan saya positif menerima takdir yang sudah ditetapkan ini.

Pada usia saya yang sudah tua ini, nak bermasam muka atau bergaduh pun buat apa? Bagi saya, memang jodoh kami sampai di sini saja.

Boleh bekerjasama

Walau bagaimanapun, Sufian dan Mas Idayu masih mengekalkan hubungan yang baik malah tidak menolak andai mereka perlu bekerjasama bagi menjayakan program televisyen.

Saya pun tetap bersedia untuk terus bekerjasama dengan dia dalam program dijalankan stesen TV. Kami pun berpisah secara baik.

Setakat ini, hubungan antara kami pun masih tetap baik walaupun sekarang sudah bercerai.

Saya akan terus beri sokongan pada kerjaya seninya, termasuk sebagai juri program.

Sekadar info, Sufian dan Mas Idayu berkahwin pada September 2022. Difahamkan mereka mula saling mengenali sejak program Mentor 3 iaitu pada tahun 2008 dan semakin akrab pada 2021.

Terdahulu, Sufian pernah berkahwin dengan personaliti TV, Intan Suraya tetapi bercerai dan mempunyai seorang anak.

Mas Idayu sebelum itu juga pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Aman Graseka pada tahun 1997 namun bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27.

Sumber: Harian Metro