
Pelakon Amyza Aznan berkongsi bahawa dirinya telah menjalani proses berhijrah dan mula berhijab sejak Oktober tahun lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Amyza Aznan Tampil Berhijab Di IG, Ruangan Komen Dihujani Pujian & Doa
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Didie Alias Luah Rasa Sebak, Kongsi Momen Ziarah Anak Amyza Aznan – ‘Semoga Cepat Sembuh’
Berlaku sekelip mata

Ketika ditemui OhBulan!, Amyza atau nama sebenarnya Amyza Aznan, 50, menjelaskan bahawa keputusannya untuk bertudung dibuat atas kehendak sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
Memang tiada dorongan daripada sesiapa.
Bila sudah bertudung ini, barulah saya sedar bila Allah berkehendak, segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata.
Saya sendiri lalu perkara itu.
Semalam mungkin saya tidak terfikir untuk pakai tudung, tetapi esoknya ia berlaku sekelip mata.
Dalam pada itu, Amyza turut mengakui keputusannya untuk berhijab tidak mempunyai kaitan dengan sebarang ujian hidup, sebaliknya ia lahir daripada keinginan dalam memartabatkan diri sebagai seorang wanita.
Ramai yang beranggapan keputusan saya berhijab mungkin disebabkan ada dugaan atau ujian yang pernah saya lalui sebelum ini, tetapi sebenarnya tidak.
Apa yang buat saya berhijab ialah saya nak merasakan diri saya lebih ‘mahal’.
Anak-anak pun nampak sangat gembira dengan keputusan ini saya berhijab ini.
Amyza berkata demikian ketika ditemui selepas selesai pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! di TGV Cinema Suria KLCC, pada Rabu.
Ingin jadi wanita ‘mahal’

Pelakon drama Ku Haramkan Susu Itu, memilih untuk tidak berkongsi secara berlebihan sebab penghijrahannya kerana bimbang disalah tafsir serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan netizen.
Saya pilih untuk tidak berkongsi lebih-lebih.
Risau akan timbul banyak pandangan dan akan ada perbalahan.
Kita semua pun tahu keadaan sekarang macam mana, masing-masing ada pendapat sendiri.
Jadi, saya ambil keputusan untuk simpan sendiri sahaja.
Menurut Amyza, penghijrahannya tidak memberi kesan terhadap kerjaya seninya, malah garis panduan dalam setiap set penggambaran telah ditetapkan sejak awal penglibatannya dalam industri.
Alhamdulillah, tawaran berlakon masih ada.
Dari segi batasan pula, sebenarnya sejak sebelum berhijab lagi saya memang menjaga batas.
Melainkan ada babak kasar yang benar-benar memerlukan, itu terpaksa dilakukan.
Namun sekarang selepas berhijab, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
Mudah juga untuk bekerja dengan pelakon lelaki kerana mereka faham dan menghormati batas.








