berita

“Saya Berlakon Kerana Saya Pemalu” – Beto Kusyairy

October 3rd, 2012 | by Ai
Kini Trending

Dilihat dari raut wajahnya, pasti ramai yang akan menyangka pelakon berbakat, Beto Kusyairy ini seorang yang garang dan serius. Namun disebalik itu, Beto yang sentiasa serius dan popular dengan watak Cikgu Ariffin didalam drama bersiri, Juvana ini sebenarnya seorang yang pemalu. Bukan setakat itu, Beto juga sebenarnya seorang yang peramah.

Ketika ditemui di majlis pelancaran filem ‘Balun’ arahan Bob Singah di SSL Traders Hotel, Beto berkongsi rahsia tentang dirinya yang tidak diketahui ramai.

“Saya ini pemalu sebenarnya. Untuk pengetahuan, punca utama saya terlibat dalam bidang lakonan adalah disebabkan sikap malu saya,” jelas Beto.

Beto yang memulakan kerjaya seninya sebagai krew produksi juga turut memberitahu dengan berlakon, dia lebih yakin akan dirinya.

“Bila saya berlakon, saya rasa lebih yakin dan menjadi orang yang lain dari diri saya.”

Apa yang lebih menarik, Beto juga sebenarnya memang meminati filem-filem aksi dan dia turut memiliki beberapa jenis seni pertahanan diri.

“Dari zaman sekolah lagi saya sudah belajar Seni Silat Gayung, kemudian Seni Cula Simanjakini, Muay Thai dan yang terbaru, Seni Silat Kundur untuk filem Balun,” ujar Beto.

Dalam pada itu, Beto yang sebelum ini pernah tercalon dalam 5 finalis Anugerah Artis Baru Lelaki Popular (ABPBH 2011) turut memberitahu bahawa dia tidak pernah berfikir mengenai populariti.

“Saya berlakon kerana minat dan bukannya untuk mengejar populariti. Saya berada dalam bidang ini pun kerana saya mahu mendidik masyarakat dengan naskhah lakonan saya,” ujar Beto.

Namun begitu, Beto tetap mengakui, tanpa populariti, sesebuah produk itu mungkin sukar untuk dijual.

Beto kini sedang sibuk dengan sesi penggambaran filem aksi berjudul “Balun” yang menampilkan dia bersama Izara Aishah, Reen Rahim dan Dato’ Eizlan Yusof.

SKIP THIS AD ×