
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman Putrajaya pada jam 8.55 pagi Isnin bagi mengetahui keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Tidak Minta Simpati, Apa Saja Yang Jadi Esok, Saya Tiada Penyesalan’ – Syed Saddiq
Artikel Berkaitan: Syed Saddiq Letak Tepi Seketika Soal Kahwin, Fokus Keputusan Rayuan Mahkamah
Harapkan keadilan
Segak mengenakan suit berwarna hitam gelap, Syed Saddiq berkata dia mengharapkan kebenaran akan berpihak kepadanya.
Saya hanya mengharapkan keadilan dan kebebasan. Doakan saya.
Syed Saddiq sempat bersalaman dengan ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz serta beberapa ahli keluarga lain sebelum masuk ke kamar mahkamah.
Keputusan yang dijadual diumumkan pada jam 9 pagi itu akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau diperintahkan menjalani hukuman penjara membabitkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan, bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan terus dibebaskan. Namun, jika rayuan dibenarkan, Syed Saddiq berdepan hukuman mengikut sabitan bagi pertuduhan yang dihadapinya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir tersebut.