Walaupun sudah lama menapak dalam dunia seni, pelakon, Nadiya Nisaa lebih selektif dalam berkongsi kehidupan peribadi di media sosial, selain faktor kekangan masa yang membataskan aktivitinya di platform tersebut.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Adore Dia, Waktu Kecil Dia Buat Saya Nangis Depan TV’ – Mimi Lana Teruja Berlakon Dengan Nadiya Nisaa Dalam ‘Polong’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Penakut Sejak Kecil, Nadiya Nisaa Cabar Diri Berlakon Genre Seram – ‘Saya Pilih Filem Polong Sebab Kualiti Karya Itu Sendiri’

Selektif

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 40, berkata dia tidak memiliki banyak akaun media sosial kerana jarang menggunakannya.

Ketiadaan saya di aplikasi Threads sama sekali bukan kerana saya menganggap ruang tersebut sebagai sebuah platform yang toksik.

Malah, saya sendiri tidak begitu pasti tentang corak persekitaran semasa di sana, sama ada ia lebih ke arah positif mahupun negatif.

Faktor utamanya hanyalah kekangan masa. Kalau diperhatikan, akaun Instagram dan TikTok saya pun amat jarang dikemas kini.

Jadi, untuk memikul tanggungjawab menguruskan pelbagai akaun media sosial secara serentak adalah sesuatu yang menuntut komitmen masa yang terlalu besar buat saya ketika ini.

Nadiya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana Viu Original, Bidadari Tanpa Syurga di Banglo 289, Kuala Lumpur.

Mengulas lebih lanjut, Nadiya berkata dia hanya menggunakan media sosial untuk urusan kerja dan promosi projek seni sahaja dan tidak gemar digunakan untuk berkongsi kehidupan peribadi.

Sebenarnya ada satu kejadian seorang individu secara melulu mendukung anak lelaki saya di sebuah pasaraya. Ia berlaku secara tiba-tiba hingga saya tidak mampu berbuat apa-apa. Waktu saya sedang menolak barangan dapur.

Walaupun dia sekadar berniat untuk beramah mesra tetapi perbuatan menyentuh anak saya tanpa kebenaran itu agak mengejutkan.

Mungkin itu antara faktor saya jarang berkongsi kehidupan harian terutama anak-anak. Suami saya pula seorang yang introvert, jadinya tiada keperluan untuk kami memuat naik gambar keluarga di media sosial.

Dalam pada itu, Nadiya optimis bakat dan kualiti kerja masih mempunyai nilai yang tinggi di mata penerbit berbanding jumlah pengikut di media sosial.

Saya tidaklah seperti artis lain yang setiap hari memuat naik konten berkaitan hal karier seni. Boleh dikatakan perkongsian saya pun boleh dikira sebulan sekali saja.

Ramai kawan baik ada menegur dan bergurau nak tunggu saya kongsi gambar di Instagram atau TikTok pun mungkin lagi lapan bulan.

Apa pun semuanya berbalik kepada rezeki. Tak semestinya kena ada pengikut yang ramai. Tapi saya tiada masalah pun nak promosikan produk saya dalam media sosial, saya ikut saja apa yang dinyatakan dalam kontrak lakonan.

Dalam perkembangan lain, Nadiya bakal muncul dalam drama bersiri 12 episod bertajuk Bidadari Tanpa Syurga yang akan mula ditayangkan di aplikasi Viu hari ini.

Selain Nadiya, drama itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Syad Mutalib, Lorenzo Irmann, Idzham Ismail dan Shahronizam Noor Ismail.