Pelantun suara ‘Patah Seribu’ iaitu Shila Amzah percaya bahawa setiap ujian yang melanda keluarganya di saat ini pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.
Beri sokongan kepada ibu
Menurut Shila, dia dan keluarga menyifatkan ujian yang berlaku ini sebagai titik-tolak untuk perbaiki diri pada masa akan datang.
Untuk saya sendiri, ini bukanlah perkara asing dan keadaan keluarga saya ketika ini bukan perkara baharu. Mungkin ada keadaan atau kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
Bagi saya, apabila ada perkara buruk berlaku, saya tidak akan melihat secara keseluruhannya adalah buruk kerana tiada apa yang abadi di dunia ini.
Di dalam dunia ini kita boleh usaha dan ikhtiar mencari kebahagiaan sendiri, tapi tiada siapa yang dijanjikan kesempurnaan dan keabadian. Jadi, apa yang terjadi itu adalah asbab (untuk menjadi lebih baik). Saya reda dan berdamai dengan apa jua keadaan.
Tambah Shila, dia memberikan 100 peratus sokongan kepada ibunya, Fauziah Sarman dalam isu rumah tangga yang berlaku.
Dalam masa sama, saya tidaklah terlalu memanjakannya. Disebabkan perkara ini pernah terjadi kepada diri sendiri, apa yang saya boleh katakan kekuatan itu perlu datang daripada diri sendiri.
Tidak kira seberapa banyak sokongan atau kasih sayang yang diterima, kalau diri sendiri yang memilih untuk tidak menyayangi diri sendiri, maka tiada perkara baik akan terjadi. Diri sendiri perlu bersedia menerimanya.
Sebenarnya kami sebagai anak tiada apa pun perkara buruk yang mahu diucapkan kepada ibu bapa kami. Cuma, kami doakan kalau mahu bahagia, ikutlah cara sendiri. Sebagai seorang anak, saya hanya mahu ibu bapa saya gembira tidak kira masih bersama atau tidak.
Sumber: Harian Metro