Penyanyi dan komposer, Reedzwann tampil memberitahu bahawa mangsa yang terkorban dalam nahas jalan raya bersamanya pada Sabtu bukan adik kandungnya.
Artikel Berkaitan: Penyanyi Reedzwann Terlibat Dalam Kemalangan, Rakan Maut Di Tempat Kejadian
Anggap seperti adik
Menurut Reedzwann atau nama sebenarnya Muhammad Khairol Ridhuan Khairol Husni, 24, hubungannya dengan mangsa iaitu Allahyarham Nuraisyatul Humairah Mohd Radzi, 20, adalah rakan baik yang sudah dianggap seperti adik sendiri.
Saya hendak maklumkan Humairah seorang yang saya anggap seperti adik sendiri dan kami sudah berkawan sejak zaman sekolah.
Disoal mengenai apa yang berlaku ketika kejadian, Reedzwann berkata, dia masih berada dalam keadaan trauma apabila teringat mengenai kejadian tersebut.
Tambah pelantun suara ‘Tercipta Satu Senyuman’ ini lagi, buat masa ini dia tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan insiden tersebut bagi mengelak menggangu siasatan pihak berkuasa.
Peguam minta jangan keluarkan apa-apa kenyataan buat masa ini tapi memang benar berlanggar dengan sebuah lori. Saya masih trauma dan terngiang-ngiang dengan apa saya nampak. Masih terbayang-bayang waktu kejadian. Ia berlaku di luar jangkaan.
Ujar Reedzwann lagi, arwah berada dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kesan luka teruk walaupun kereta remuk.
Saya masih trauma dan terngiang-ngiang dengan apa saya nampak. Arwah dalam keadaan sempurna malah ibu saya yang datang membantu ketika proses mengkhafankan jenazah beritahu dia seperti tidur dan cuma ada luka-luka ringan sahaja.
Saya kehilangan orang yang selalu menyokong saya dalam industri.
Terdahulu, Reedzwann bersama mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan dari Jelutong, Pulau Pinang menuju ke Puchong, Selangor.
Sumber: Mstar