Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan dirinya terlibat dengan kes amang seksual terhadap remaja 17 tahun.

Artikel Berkaitan: Kehadiran Naim Daniel Ke Mahkamah Timbul Tanda Tanya

Artikel Berkaitan: Naim Daniel Mengaku Tidak Bersalah, Diikat Jamin RM12,000

‘Saya serahkan kepada sistem keadilan’

Ketika ditemui OhBulan!, Naim atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, dia komited untuk membersihkan namanya dan akan memberikan kerjasama bagi menyelesaikan perkara ini.

Saya tahu perkara ini mengejutkan dan menimbulkan tanda tanya namun buat masa sekarang saya tidak bercadang untuk mengulas panjang mengenainya.

Saya juga tidak mahu mencampur adukkan apa-apa perkara yang boleh mengganggu perbicaraan ini.

Untuk masa sekarang saya serahkan kepada sistem keadilan dan komited untuk beri kerjasama bagi membersihkan nama saya.

Naim berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Sesyen, Putrajaya pada Selasa.

Ketika ditanya mengenai kesihatan mental, pelantun lagu ‘Sumpah’ memaklumkan dia berada dalam keadaan baik.

Dia juga bersyukur kerana mendapat sokongan dan doa daripada keluarga.

Alhamdulillah saya okay, terima kasih kerana bertanya.

Saya pun tak adalah nak melatah mengenai isu ini dan hanya nak berikan fokus kepada diri sendiri dan well being saya saja.

Keluarga saya okay, tiada masalah malah mendoakan yang baik kepada saya.

Terdahulu, Naim mengaku tidak bersalah dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Bagi pertuduhan hari ini, Naim didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 Ogos depan.

Pada 4 Jun lalu, media melaporkan penangkapan seorang pelakon dan penyanyi bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.

Mangsa yang berusia 17 tahun itu difahamkan mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe sebelum mereka beberapa kali bertemu susulan perkenalan itu.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek kemudiannya membawa mangsa berjumpa di sebuah hotel.