“Saya rasa dunia ni macam sangat sepi”. Demikian luahan perasaan bapa kepada Allahyarham Siti Sarah iaitu Raissuddin Hamzah apabila mengetahui berita pemergian anak tunggal perempuannya pada Isnin lalu.
Artikel Berkaitan: Tahap Oksigen Abang Siti Sarah Rendah, Shuib Mohon Doa – ‘Saya Dah Jadi Fobia’
Hilang kata
Sambil menahan sebak ketika berkongsi, Raissuddin, 65, akui dia terkedu dan hilang kata saat menantunya, pelawak Shuib datang memberitahu perkhabaran duka itu.
Biarpun dia belum bersedia, dia reda dan menganggap pemergian Siti Sarah itu sebagai satu ketentuan Illahi.
Malam tu (awal pagi Isnin) Shuib datang jumpa saya, dengan senyum dia kata… abah orang nak pergi hospital.
Dia melutut di depan saya dan dia kata… Siti dah tak ada, abah. Saya tidak tahu nak kata apa. Saya rasa dunia ni macam sangat sepi.
Sebenarnya apa yang berlaku adalah satu takdir yang sudah ditetapkan Allah.
Saya harap semua terus mendoakan arwah dan moga dia tenang di sana. Kita hanya dapat kenang sebab dia tidak akan kembali lagi.
Tak pernah lawan cakap saya
Dalam pada itu, penyanyi era 80-an menyatakan Siti Sarah adalah seorang anak yang manja dan taat dengan orang tuanya.
Katanya lagi, sehari sebelum anaknya dikerjakan ke hospital, mereka sempat berpegangan tangan namun tidak berkata apa-apa.
Dia seorang anak yang sangat baik dan tak pernah membantah serta melawan cakap saya.
Arwah juga seorang yang manja dengan saya….banyak kenangan manis kami bersama sepanjang 37 tahun hidupnya.
Sehari sebelum dia pergi ke hospital, kami saling berpegangan tangan tetapi tidak berkata apa-apa.
Raissuddin ditemui ketika majlis bacaan tahlil buat Allahyarham Siti Sarah yang diadakan secara maya pada malam Selasa.
Raissuddin yang cukup akrab dengan Shuib baru sahaja selesai menjalani kuarantin, semalam.
Terdahulu, Siti Sarah, 37, telah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat pandemik COVID-19, jam 5.13 pagi Isnin.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat.
Pada hari sama, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, dan terus menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus kelmarin namun pada Ahad malam Shuib memberitahu keadaan Siti Sarah kembali kritikal selepas menurun 40 peratus.
Siti Sarah sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak itu.
Siti Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011 dan mendapat tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.
Sumber: Instagram @sitisarahraissuddin