berita

‘Saya Seakan Dapat Petunjuk Untuk Sertai IKIMfm Selepas Mengerjakan Umrah’ – Tyzo Xander

March 5th, 2024 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Tyzo Xander

Setelah hampir dua bulan tidak bersiaran di mana-mana stesen radio, Tyzo Xander akan kembali ke udara selepas diumumkan sebagai penyampai radio bagi Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm).

Tyzo yang ditemui OhBulan! baru-baru ini tampil menjelaskan sebab dirinya memilih untuk bersama stesen radio berkenaan.

Artikel Berkaitan: Tyzo Xander Kini Penyampai Radio IKIMfm, Bakal Tampil Sisi Berbeza

Buat keputusan selepas kerjakan umrah

Menurut pemilik nama Tuah Zulqarnain Idris ini, hatinya seakan terbuka menerima tawaran yang diberikan IKIMfm selepas mengerjakan ibadah umrah di Makkah, baru-baru ini.

Selepas saya ditamatkan kontrak, timbul beberapa berita mengenai tawaran yang saya terima dengan beberapa stesen radio dan salah satunya adalah daripada pihak IKIMfm.

Kebetulan pula selepas itu saya dijemput untuk mengerjakan ibadah umrah dan sewaktu di sana (Makkah), Allah seakan memberikan saya petunjuk dan hidayah untuk bersama dengan IKIMfm.

Sebab waktu saya berada di sana saya berdoa pada Allah kalau saya masih boleh memberikan manfaat kepada orang ramai, saya minta agar saya masih diteruskan dalam bidang ini tetapi kalau sebaliknya saya minta agar Allah tukarkan saya kepada bidang lain.

Alhamdulillah, saya memilih IKIMfm.

Tyzo berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis penjenamaan semula dan pelancaran logo terbaharu IKIMfm yang diadakan di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada Isnin.

Ketika ditanya mengenai cabaran untuk memulakan kerjayanya di IKIMfm, Tyzo memaklumkan bahawa dia sama sekali tidak melihat adanya kesukaran bagi dirinya untuk menyesuaikan diri dengan konsep stesen radio berkenaan yang lebih ke arah Islamik.

Saya fikir tiada masalah untuk saya bertugas di IKIMfm kerana stesen radio itu masih ada unsur hiburan. Cuma, pendekatan mereka berbeza.

Apa yang penting ialah saya perlu ‘blend’kan diri saya bersama dua lagi penyampai bagi segmen yang bakal kami kendalikan bersama.

Dari segi taktikalnya, saya akan ‘study’ supaya kami bertiga dapatkan ‘chemistry’ bila ke udara bersama.

Terdahulu, isu penamatan kontrak Tyzo bersama sebuah stesen radio swasta menjadi bualan hantar selepas tularnya satu rakaman video yang tular di TikTok.

Merusi video tersebut, Tyzo mendakwa dirinya telah dianiaya selepas kontraknya telah ditamatkan lebih awal.

Selepas penularan video tersebut, beberapa stesen radio ternama dikhabarkan mahu mendapatkan khidmat Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) itu.

Kini, Tyzo sah menjadi penyampai radio bagi IKIMfm dan bakal mengendalikan segmen ‘Inspirasi Pagi’ pada setiap Isnin hingga Jumaat bersama Suffian Amrin dan Luqman Hakim pada jam 6 pagi hingga 10 pagi bermula 11 Mac ini.

SKIP THIS AD ×