Lebih empat dekad bermain dalam gelanggang dunia lakonan dan mengumpul pelbagai pengiktirafan, pelakon terkenal Indonesia, Christine Hakim tetap memilih untuk merendah diri serta tidak pernah menganggap pencapaian yang diraih sebagai tiket untuk berasa hebat.

Artikel Berkaitan: Sudah Dilabel Pelakon Gred A, Ummi Nazeera Masih Pergi Kelas Lakonan – ‘Saya Tak Akan Berhenti Belajar’

Sentiasa merendah diri

Christine, 70, berkata, dia tidak pernah mengejar trofi atau mengharapkan pengiktirafan sepanjang perjalanan seninya kerana bimbang kejayaan tersebut boleh membuatkan dirinya hanyut.

Saya tidak pernah merasa hebat. Saya juga tidak pernah menagih untuk menang trofi kerana takut menjadi sombong. Saya menjalani kehidupan dan kerjaya sehingga ke tahap ini kerana semuanya adalah aturan Tuhan.

Christine berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media pengenalan barisan pelakon filem terbaharu, Langit 2 Warna, yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.

Dalam pada itu, Christine turut berkongsi sisi pandangannya terhadap dunia lakonan yang dianggap lebih daripada sekadar pekerjaan atau medium hiburan.

Bagi pelakon yang sudah membintangi puluhan filem itu, setiap karya yang dijayakan adalah satu amanah untuk menyampaikan mesej positif dan kebaikan kepada penonton.

Penting untuk kita tahu asas sebagai manusia. Bagi saya, lakonan dalam filem merupakan satu perjalanan spiritual untuk mencari apa yang Tuhan amanahkan dalam kehidupan.

Pada awalnya saya tahu berlakon, tetapi saya diberikan peluang untuk menjadi seorang pelakon. Ketika saya mahu berhenti, tawaran pula datang. Sampai bila saya akan terus berlakon pun saya tidak tahu. Hanya Tuhan yang tahu.

Menurut Christine, sepanjang berada dalam industri, dia sentiasa mengingatkan dirinya bahawa kerjaya seni adalah satu tanggungjawab.

Saya sering ingatkan diri bahawa ini adalah amanah untuk berbuat kebaikan. Saya sebarkan kebaikan bukan dengan cara menjadi ustaz atau ustazah, tetapi melalui karya.

Dalam perkembangan lain, Christine bakal memulakan penggambaran filem Langit 2 Warna arahan Erma Fatima yang turut menampilkan Reza Rahadian, Ummi Nazeera, Eman Manan, Datin Seri Umie Aida, Datuk Tarmimi Siregar dan barisan pelakon lain.