
Penyanyi, Jai Wahab mengakui dirinya pernah menerima pelawaan untuk menyertai program realiti popular Gegar Vaganza (GV), namun memilih menolak tawaran tersebut.
Artikel Berkaitan: ‘Kadang Rasa Nak Berhenti Berlakon Sebab Masa Tak Cukup’ – Fasha Sandha Kongsi Momen Anak Menangis Tak Mahu Berjauhan
Berhenti menyanyi

Menurut penyanyi kelahiran Singapura itu, keputusan berkenaan dibuat selepas dia merasakan urusan akhirat lebih penting berbanding kembali aktif dalam dunia hiburan.
Dulu Alhamdulillah saya merupakan seorang penulis muzik, penyanyi dan penerbit tapi tu dulu dan sekarang saya dah tinggalkan dunia seni.
Saya pernah buat AIM dan APM jadi itu adalah satu wadah yang menaikkan nama sama dalam industri seni. Saya dulu sebaris dengan arwah Siti Sarah Raisuddin, Hazama dan Misha Omar. Tapi saya tak berani sangat.
Saya juga pernah diundang untuk menyertai Gegar Vaganza tapi tahun itu saya pergi menunaikan ibadah umrah. Saya pilih akhirat.
Jai berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Karva Travel & Tours yang berlangsung di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Jai turut menegaskan dia tidak bercadang untuk menerima sebarang tawaran menyertai pertandingan nyanyian tersebut sekiranya dipelawa sekali lagi pada masa akan datang.
Jelasnya, dia kini sudah meninggalkan dunia seni sepenuhnya selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang bergelar anak seni satu ketika dahulu.
Saya tak terima sebab dah tinggalkan dunia nyanyian. Sebab saya dah laluinya dan dapat peluang berkarya bersama teman-teman seperjuangan. Saya pernah bekerja dengan Adnan Abu Hassan dan juga produser muzik hebat.
Dulu pernah juga tulis lagu-lagu untuk rakan artis tapi sekarang saya rasa inisiatif dan misi ini lagi besar untuk saya tanggung.








