Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun memberitahu kepada pihak mahkamah bahawa kesan gigitan pada perut Bella berpunca daripada kejadian pergaduhan remaja sindrom down itu dengan bekas penghuni Rumah Bonda dikenali Balqis.
Pakai pencuci muka Balqis
Menurut Siti Bainun, pergaduhan tersebut berpunca apabila Bella memakai pencuci muka Balqis.
Dua-dua sebenarnya gigit-menggigit selepas Bella pakai pencuci muka Balqis. Selepas pakai (krim), (mereka) berlari (dan) berkejar satu rumah sebelum masing-masing gigit satu sama lain. Saya letak minyak gamat dan krim, malah saya marah dua-dua sama macam ibu bapa lain tegur anak-anak apabila bergaduh.
Bercakap mengenai kesan lecur pada bahagian badan Bella pula, Bainun berkata ia berlaku apabila termos berisi air panas tersimbah ke arah Bella ketika remaja itu bergaduh dengan Balqis pada Mei 2021.
Saya tidak mendera Bella. Jika benar saya berniat untuk mencederakan Bella, tidak mungkin saya cuba menyembuhkan Bella, bertanya kepada ahli farmasi ubat-ubatan yang sesuai untuk merawatnya dan menghabiskan wang ringgit bagi membeli segala keperluan dan ubat-ubatan terbaik untuknya.
Tambahnya, isu pergaduhan dengan Balqis itu juga diakui sendiri Bella ketika peguamnya bertanya remaja itu dalam prosiding pendakwaan sebelum ini.
Saya pun tak faham kenapa Bella dengan Balqis ini tak boleh sesuaikan diri (tak boleh jumpa dan kerap gaduh).
Bella sangat sihat
Pada masa yang sama, Siti Bainun berkata, hasil pemeriksaan saksi pendakwaan kedua, doktor di bahagian kecemasan dan trauma, Dr S Meenambigai terhadap paru-paru, abdomen dan kaki Bella juga menunjukkan keputusan normal.
Bella ini memang sangat-sangat sihat. Dia tidak ada sakit asma atau apa-apa sakit. Dapatan ini menunjukkan saya tidak pernah memijak perut, menendang perut, menyuruh berdiri lama dan apa jua jenis penderaan yang direka saksi tidak pernah berlaku. Malah, kaki Bella dilaporkan tidak bengkak sedangkan saya dikatakan setiap hari mengarahkan dia berdiri terlalu lama.
Sumber: Harian Metro