Meskipun sudah 30 tahun berlalu, peristiwa kematian anggota Pasukan Pengaman Malaysia (Malbatt 1) Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang masih lagi segar diingatan balunya, Siti Zauyah Yahya, 57.
Artikel Berkaitan: Tangisan Keluarga, Anak-Anak Iringi Pasukan MALBATT 850-7 Berlepas Ke Lubnan
Masih berdebar tapi tetap berbangga
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Harian Metro, Siti Zauyah mengakui dirinya masih berdebar setiap kali ditanya mengenai peristiwa yang menimpa suaminya itu.
Menceritakan semula mengenai kejadian itu, Siti Zauyah memaklumkan bahawa suaminya meninggal dunia selepas tewas dalam pertempuran di Pasar Bakara ketika membantu tentera Amerika Syarikat (AS) di Somalia pada 1993.
Difahamkan, kereta perisai yang dikendalikan suaminya ditembak bertalu-talu sebelum terkena bedilan roket RPG puak pemberontak.
Selepas kejadian serangan di Pasar Bakara, jenazah suami tiba di Malaysia sembilan hari kemudian. Ketika itu saya dapat lihat darahnya masih menitis di dada kirinya.
Sampai hari ini, saya tak mampu bayangkan bagaimana kereta perisai dikendalikan arwah suami ditembak bertalu-talu sebelum terkena RPG.
Memang suami dan pasukan Malbatt berani kerana tentera Pakistan pun terpaksa berundur, tetapi tentera Malaysia sanggup meredah masuk.
Meskipun masih pilu, Siti Zauyah dan ahli keluarga yang lain sangat berbangga apabila kejadian sebenar yang menimpa pasukan Malbatt dipaparkan melalui filem ‘Malbatt: Misi Bakara’ yang kini sedang ditayangkan di seluruh negara.
Anak ikut jejak arwah suami
Foto: Berita Harian
Sementara itu, Siti Zauyah meluahkan rasa bangganya apabila anak sulung, Nor Azlinda Mat Aznan, 37, turut mengikut jejak arwah suaminya untuk menyarung pakaian seragam tentera.
Difahamkan, Nor Azlinda kini berkhidmat sebagai Jurulatih Kanan Kor Perkhidmatan Am, 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Lapangan Terbang di Sungai Layar, Sungai Petani.
Saya bangga apabila Nor Azlinda dapat menyambung semangat dan warisan ayahnya sebagai anggota tentera.
Alhamdulillah, sebelum ini, saya juga dapat besarkan anak dengan baik melalui pencen arwah suami, Kementerian Pertahanan juga sangat mengambil berat berkaitan saya dan anak sehingga kini.
Meskipun sudah 30 tahun berlalu, Sit Zauyah mendedahkan dia tetap merasai kasih saya arwah suaminya hingga ke hari ini dan akan terus menerus mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat.
Sumber: Harian Metro