
Pelakon, Kamal Adli menafikan dakwaan dirinya pernah melabel isterinya, Uqasha Senrose sebagai individu tidak waras ketika prosiding kes perceraian mereka yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Berani Junjung Al-Quran, Tak Pernah Pukul Isteri’ – Kamal Adli Pilih Simpan Aib Uqasha Senrose
Nafi cakap isteri gila
Kamal, 39, berkata, kenyataan yang dibuat di hadapan hakim sebelum ini telah disalah tafsir, apabila dia hanya merujuk kepada keadaan emosi Uqasha yang didakwa tidak stabil ketika memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu.
Saya rasa sesiapa yang menonton siaran langsung boleh faham keadaan ketika itu. Saya tidak pernah mengatakan isteri saya (Uqasha) gila atau mental.
Apa yang saya maklumkan kepada hakim hanyalah kemungkinan emosinya tidak stabil pada waktu tersebut. Itu sahaja yang saya tekankan.
Kamal turut memaklumkan pendiriannya masih sama iaitu mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama Uqasha, sekali gus menjelaskan sebab keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai kata sepakat.
Sementara itu, Uqasha menyuarakan kekecewaan terhadap kenyataan suaminya yang disifatkan bercanggah dengan apa yang diperkatakan kepada media sebelum ini yang mendakwa masih ingin mempertahankan perkahwinan mereka.
Menurut Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dakwaan kononnya dirinya mengalami masalah mental adalah tidak berasas dan mencemarkan reputasinya sebagai seorang ibu.
Anda nilaikan sendiri apa yang dia cakap. Saya sabar selama ini, tetapi dia memfitnah dan bercakap perkara yang tidak benar mengenai saya.
Kalau saya tidak waras, sudah tentu saya tidak mampu menjaga anak saya seorang diri.
Dalam perkembangan sama, Uqasha turut mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang empat tahun perkahwinan, termasuk ketika hamil sehingga selepas kelahiran anak mereka yang kini berusia 19 bulan.
Terdahulu, prosiding JKP yang melibatkan kedua-dua keluarga gagal mencapai persetujuan berikutan Kamal masih berhasrat untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.
Berikutan itu, Mahkamah Syariah melantik hakam atau perunding tara bagi meneruskan proses penyelesaian kes, dengan sebutan seterusnya dijadualkan pada 12 Januari 2026.